
NILAI: Universiti MILA telah melancarkan Biasiswa Negeri Sembilan, satu inisiatif biasiswa khusus untuk menyokong pelajar yang lahir di Negeri Sembilan dalam melanjutkan pengajian tinggi.
Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J.Arul Kumar dan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MILA Education Malaysia, Profesor Dr. Cao Fei dan Naib Canselor Universiti MILA, Profesor Dr.Graham Kendall.
Biasiswa ini ditawarkan secara eksklusif kepada pelajar Malaysia yang dilahirkan di Negeri Sembilan.
Ia merangkumi pembiayaan penuh dan separa yuran pengajian bagi program Asasi, Diploma, dan Ijazah Sarjana Muda di Universiti MILA.
Tawaran ini terbuka kepada pelajar yang mendaftar bagi pengambilan Julai dan September 2025, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berpotensi tinggi dari latar belakang berpendapatan rendah hingga sederhana.
Inisiatif ini ditaja sepenuhnya oleh Universiti MILA dan dirangka hasil jalinan kerjasama erat bersama-sama kepimpinan tempatan, termasuk YB Arul Kumar yang telah memainkan peranan utama dalam merealisasikan penubuhannya.
Arul Kumar berkata, inisiatif biasiswa baharu ini diperkenalkan oleh Universiti MILA bagi menyokong pelajar kelahiran Negeri Sembilan melanjutkan pengajian tinggi.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Universiti MILA dalam memperluas akses kepada pendidikan”
“Dengan menyokong pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah hingga sederhana, biasiswa ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi ia adalah peluang sebenar, impak jangka panjang dan transformasi peribadi.
“Pendidikan adalah penyamarataan terbaik, dan saya yakin inisiatif ini akan melahirkan generasi pemimpin masa depan dan pembawa perubahan yang bakal menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Negeri Sembilan,” kata Arul Kumar.
Melalui pelancaran Biasiswa Negeri Sembilan ini, Universiti MILA mengambil langkah berani dalam membentuk masa depan yang lebih cerah dan inklusif.
Inisiatif ini selari dengan misi berterusan Universiti MILA untuk membuka pintu peluang, menyalurkan potensi, dan melahirkan graduan Negeri Sembilan yang yakin serta kompeten.