Berita

Malaysia tegaskan reformasi kesihatan dan sokongan kepada WHO di WHA79

GENEVA: Malaysia menegaskan komitmennya terhadap reformasi sistem kesihatan negara serta sokongan berterusan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi penyertaan di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (#WHA79) di Geneva.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pendirian Malaysia memberi fokus kepada usaha memperkukuh sistem kesihatan awam, memperluas akses penjagaan komuniti serta mempercepat transformasi digital dalam sektor kesihatan.

“Kesihatan bukan alat politik. Malaysia menegaskan keperluan melindungi petugas kesihatan, infrastruktur perubatan dan memastikan rantaian bekalan perubatan global sentiasa terbuka,” katanya dalam kenyataan sempena sidang tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa Reformasi Kesihatan MADANI akan terus diperkasa melalui peluasan penjagaan kesihatan berasaskan komuniti dan agenda pendigitalan kesihatan negara.

Menurut beliau, pendekatan strategik ‘5S’ juga menjadi antara fokus utama negara dalam menangani penyakit tidak berjangkit (NCD) dan isu kesihatan mental.

“Pendekatan 5S memberi tumpuan kepada Gula (Sugar), Asap (Smoke), Garam (Salt), Stigma dan gaya hidup sedentari bagi mencapai sasaran kesihatan yang lebih berkesan,” katanya.

Dalam masa sama, Malaysia turut memperkenalkan inisiatif kesihatan paru-paru dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat pengesanan awal penyakit.

“Kita perlu beralih daripada konsep ‘sick-care’ kepada pencegahan awal melalui penggunaan saringan pintar berasaskan AI,” ujar beliau.

Dzulkefly turut menegaskan sokongan Malaysia terhadap WHO dalam membina masa depan kesihatan global yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan menghadapi cabaran kesihatan dunia.

 

Show More

Related Articles

Back to top button