Berita

Jangan dagangkan Melayu, Islam demi undi, nilai rekod sebenar Pakatan Harapan – Tiga calon

SEREMBAN: Tiga calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak terus memperdagangkan sentimen Melayu dan Islam semata-mata untuk meraih sokongan politik sepanjang tempoh berkempen.

Calon PH DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad; calon DUN Ampangan, Dato’ Muhammad Nazri Kassim; dan calon DUN Paroi, Ustaz Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, pilihan raya sepatutnya menjadi medan untuk rakyat menilai dasar, idea serta rekod pentadbiran, bukannya menyebarkan naratif yang menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat.

Menurut mereka, dakwaan kononnya orang Melayu dan Islam akan terancam sekiranya PH terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan tidak disokong oleh fakta.

“Sekiranya benar dakwaan bahawa orang Melayu dan Islam semakin terpinggir di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, maka rakyat berhak bertanya satu soalan yang mudah. Di manakah buktinya?” kata mereka dalam sidang media bersama hari ini.

Mereka berkata, sepanjang hampir tujuh tahun pentadbiran di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, Kerajaan Negeri telah membuktikan komitmen membela masyarakat Melayu menerusi pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Menurut mereka, antara bukti paling jelas ialah kebajikan penjawat awam negeri yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu Islam.

Hasil pengurusan kewangan negeri yang berhemah serta prestasi kukuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penjawat awam menikmati bonus sehingga tiga bulan gaji selain kenaikan gaji sebanyak 15 peratus.

Katanya, manfaat tersebut bukan sekadar janji politik, sebaliknya hasil pentadbiran yang cekap dan bertanggungjawab.

Dalam aspek pendidikan pula, pelbagai bantuan menerusi Bantuan Anak Sekolah, Biasiswa Anak Negeri dan skim Yayasan Negeri Sembilan telah membantu ribuan pelajar meneruskan persekolahan serta pengajian mereka.

Majoriti penerima manfaat ialah anak-anak Melayu Islam yang menjadi sebahagian besar penduduk negeri ini.

“Membela masyarakat Melayu bukan sekadar slogan ketika pilihan raya, tetapi diterjemahkan melalui dasar dan bantuan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” menurut kenyataan bersama tiga calon itu.

Sehubungan itu, mereka menyeru rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan politik yang memainkan sentimen kaum dan agama.

Sebaliknya, rakyat diminta membuat penilaian berdasarkan rekod pentadbiran, dasar yang telah dilaksanakan serta manfaat sebenar yang dinikmati sepanjang tujuh tahun lalu.

“Nilailah berdasarkan rekod. Nilailah berdasarkan fakta. Nilailah berdasarkan apa yang telah dilaksanakan sepanjang tujuh tahun yang lalu,” kata mereka.

Show More

Related Articles

Back to top button