Berita

PH Negeri Sembilan sasar 30,000 pekerjaan bergaji tinggi menerusi agenda pembangunan ekonomi

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menetapkan sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi menerusi pelaksanaan agenda pembangunan ekonomi yang disifatkan mampu meningkatkan pendapatan rakyat serta memperkukuh ekonomi negeri.

Menurut kenyataan media Bilik Gerakan Utama PH Negeri Sembilan, kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya sejauh mana pembangunan yang dilaksanakan mampu membuka peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memberi harapan kepada generasi akan datang.

Katanya, manifesto PH bukan sekadar menawarkan projek pembangunan, malah membentangkan pelan ekonomi jangka panjang bagi menjadikan Negeri Sembilan lebih moden, berdaya saing dan berupaya menyediakan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi kepada anak tempatan.

Antara fokus utama yang digariskan ialah memperkukuhkan Port Dickson sebagai hab maritim dan logistik, memperjuangkan pembinaan Hospital Bandar Enstek, membangunkan Seremban Sentral sebagai pusat pertumbuhan baharu serta menambah baik rangkaian pengangkutan termasuk pembinaan laluan pintasan Senawang–Port Klang dan peningkatan perkhidmatan KTM Komuter.

Menurut kenyataan itu, semua inisiatif berkenaan bertujuan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi dan merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan.

“Pakatan Harapan tidak mahu pembangunan yang hanya megah di atas pelan.

“Kita mahu pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Apabila pelaburan bertambah, peluang pekerjaan akan meningkat.

“Apabila peluang pekerjaan meningkat, pendapatan rakyat akan bertambah.

“Apabila pendapatan rakyat meningkat, ekonomi negeri akan menjadi lebih kukuh,” menurut kenyataan itu.

PH turut menegaskan bahawa Negeri Sembilan mempunyai kelebihan dari segi kedudukan strategik, kestabilan politik serta rekod pentadbiran yang diyakini pelabur.

Sehubungan itu, PH yakin mandat yang kukuh daripada rakyat akan membolehkan agenda pembangunan dipercepatkan demi kesejahteraan seluruh rakyat, selain komited membina ekonomi masa depan yang berkembang secara mampan dan memberi manfaat kepada setiap keluarga di Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button