Pengundian Awal PRN NS16 Catat Kehadiran Lebih 91 Peratus
SEREMBAN: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung hari ini merekodkan kehadiran memberangsangkan apabila 91.06 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, daripada keseluruhan 16,467 pengundi awal yang layak mengundi, seramai 14,995 orang yang terdiri daripada anggota tentera, pasangan mereka serta anggota polis telah keluar mengundi setakat tamat proses pengundian.
“Proses pengundian awal bermula seawal jam 8 pagi di 38 pusat mengundi awal yang dibuka di seluruh Negeri Sembilan.
“Pusat-pusat mengundi tersebut ditutup secara berperingkat iaitu pada jam 12.00 tengah hari melibatkan 18 pusat mengundi, jam 2.00 petang bagi dua pusat mengundi dan jam 5.00 petang bagi baki 18 pusat mengundi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta petugas yang terlibat kerana berjaya melaksanakan urusan pengundian awal dengan lancar dan teratur.
Pada masa sama, ucapan terima kasih turut diberikan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas media serta semua pihak yang membantu menjayakan proses pengundian awal PRN Negeri Sembilan Ke-16.


