Berita

Syiar Islam diperkasa melalui tindakan, bukan propaganda pilihan raya

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) mengingatkan pihak yang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan supaya tidak menjadikan agama Islam sebagai modal politik sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Tiga calon PH iaitu Nor Azman Mohamad (Sikamat), Dato’ Muhammad Nazri Kassim (Ampangan) dan Ustaz Ahmad Shahir Mohd Shah (Paroi) berkata, dakwaan bahawa syiar Islam semakin terhakis di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri adalah tidak berasas dan bercanggah dengan rekod sebenar.

Menurut mereka, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, telah melaksanakan pelbagai usaha memperkukuhkan institusi Islam sejak hampir tujuh tahun lalu.

“Sekiranya sebuah kerajaan benar-benar membela Melayu dan memartabatkan Islam, sudah tentu ia dapat dibuktikan melalui dasar, peruntukan, pembangunan dan manfaat yang dinikmati oleh rakyat.

“Itulah yang telah dibuktikan oleh Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan,” kata mereka.

Antara usaha yang dilaksanakan ialah menaik taraf Kompleks Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Gemencheh bernilai RM14 juta pada tahun 2020 bagi memperkukuhkan pendidikan agama di negeri ini.

Selain itu, sebanyak 10 masjid baharu sedang dan telah dibina membabitkan peruntukan hampir RM90 juta.

Menurut mereka, pembinaan masjid bukan sekadar menyediakan tempat ibadah, malah menjadi pusat pembangunan ummah, pusat ilmu, perpaduan dan kebajikan masyarakat.

Katanya, pelaburan besar itu membuktikan Kerajaan Negeri bukan sahaja mempertahankan syiar Islam, malah terus memperkasakannya secara konsisten melalui dasar dan peruntukan.

Mereka berkata, pendekatan PH ialah membela orang Melayu melalui dasar yang memberi peluang pendidikan, pekerjaan, peningkatan pendapatan serta ruang perniagaan, di samping memperkukuh institusi Islam secara berterusan.

“Kami tidak percaya bahawa Melayu akan menjadi kuat hanya dengan slogan.

“Kami percaya orang Melayu Islam Negeri Sembilan akan menjadi lebih kuat apabila mempunyai pendidikan yang lebih baik, pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi dan institusi Islam yang terus diperkasakan melalui dasar yang konsisten.”

Sehubungan itu, mereka menyeru rakyat supaya menolak politik yang memainkan sentimen kaum dan agama semata-mata untuk meraih undi.

Sebaliknya, mereka mengajak pengundi menilai prestasi Kerajaan Negeri berdasarkan fakta, pencapaian serta manfaat yang telah dinikmati rakyat sebelum membuat keputusan pada hari pengundian nanti.

Show More

Related Articles

Back to top button