Berita

Zarinna mahu buka lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda Lenggeng

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Lenggeng, Zarinna Abu Zarin mahu memastikan golongan belia di kawasan itu memperoleh lebih banyak peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran sekiranya diberi mandat.

Beliau berkata, anak muda merupakan aset terbesar Lenggeng dan perlu dipersiapkan dengan kemahiran yang selari dengan keperluan industri semasa.

Menurutnya, antara fokus yang digariskan ialah memperluaskan akses kepada latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran digital serta pembangunan bakat.

“Kita mahu membuka lebih banyak peluang melalui latihan TVET, kemahiran digital, pembangunan bakat dan hubungan dengan industri supaya anak muda bukan sahaja mempunyai kelayakan, tetapi mempunyai peluang pekerjaan yang lebih baik,” kata Zarinna.

Selain itu, beliau berkata Pusat Peluang Kerjaya dan Keusahawanan akan diperkasakan bagi membantu belia mendapatkan padanan pekerjaan serta membina perniagaan sendiri.

Zarinna berkata, usaha itu turut merangkumi latihan pemasaran digital bagi membantu usahawan muda mengembangkan perusahaan masing-masing.

“Anak muda Lenggeng mesti melihat bahawa masa depan mereka boleh dibina di sini,” ujarnya.

Zarinna berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Tujuh Tawaran Hajah Zarinna Abu Zarin Untuk Lenggeng.

Show More

Related Articles

Back to top button