Calon PH tolak politik persepsi, tegaskan Islam dibuktikan melalui amalan

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menolak dakwaan bahawa gabungan itu tidak mempunyai semangat Islam dan Melayu, sebaliknya menegaskan perjuangan berteraskan nilai agama perlu diterjemahkan melalui tindakan serta manfaat kepada rakyat, bukannya sekadar slogan politik.
Calon Pakatan Harapan DUN Sikamat, Ustaz Nor Azman Mohamad, berkata naratif yang cuba dimainkan segelintir pihak kononnya PH tidak memperjuangkan Islam adalah tidak berasas kerana ramai calon yang diketengahkan mempunyai latar belakang pendidikan agama.
Menurut beliau, calon PH DUN Kota, Muhammad Allif Ibrahim merupakan seorang ustaz yang aktif mengajar al-Quran, manakala calon DUN Paroi, Ustaz Ahmad Syahir Mohd Shah ialah graduan Pengajian Islam Universiti Malaya.
Beliau berkata, calon DUN Ampangan, Dato’ Muhammad Nazri Kassim pula mendapat pendidikan di Madinah sebelum menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sementara beliau sendiri merupakan graduan Universiti Al-Azhar, Mesir.
“Islam ini bukan hanya soal penampilan dan bukan sekadar slogan. Yang lebih penting ialah bagaimana kita membawa maslahah kepada masyarakat serta menolak mudarat daripada rakyat,” katanya pada sidang media di sini.
Nor Azman berkata, sentimen yang dimainkan mengenai agama dan kaum tidak akan membawa kemajuan kepada Negeri Sembilan, sebaliknya hanya mengheret masyarakat kepada polemik yang tidak memberikan manfaat.
Beliau turut mengajak rakyat menilai rekod pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, khususnya dalam usaha memartabatkan syiar Islam melalui pendekatan yang diamalkan.
Katanya, kediaman rasmi Menteri Besar sentiasa dibuka untuk penganjuran majlis ilmu, usrah bulanan dan program tadabbur al-Quran yang turut melibatkan penyertaan masyarakat.
Beliau menegaskan pendekatan itu membuktikan PH mengamalkan nilai Islam secara praktikal dalam pentadbiran, bukan sekadar menampilkan imej atau retorik semata-mata.


