‘Islam terancam’ hanya mainan politik, dakwa calon PH Paroi

SEREMBAN: Dakwaan kononnya pelaksanaan syariat Islam di Negeri Sembilan terjejas akibat pengaruh parti tertentu disifatkan sebagai naratif politik yang tidak berpijak kepada realiti sebenar pentadbiran negeri.
Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Paroi, Ustaz Ahmad Shahir Mohd Shah, berkata rakyat Negeri Sembilan sendiri dapat melihat bahawa kebajikan umat Islam terus diberi perhatian dan tidak pernah timbul isu penindasan terhadap agama sebagaimana didakwa pihak tertentu.
Menurut beliau, usaha membangkitkan kebimbangan kononnya orang Melayu dan Islam berada dalam keadaan terancam hanyalah cubaan mewujudkan persepsi menjelang pilihan raya.
“Tidak ada sebuah masjid pun ditutup, tidak ada hak orang Islam dinafikan dan anak-anak Melayu Islam di Negeri Sembilan terus mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri calon PH DUN Sikamat, Ustaz Nor Azman Mohamad dan calon DUN Ampangan, Dato’ Muhammad Nazri Kassim.
Beliau berkata, berdasarkan komposisi penduduk negeri yang majoritinya Melayu dan beragama Islam, manfaat daripada pelbagai dasar Kerajaan Negeri juga banyak dinikmati golongan tersebut.
Antara inisiatif yang disebut ialah pemberian insentif kepada penjawat awam, pelaksanaan dasar pertukaran status tanah pajakan kepada pegangan bebas serta pelbagai bantuan pendidikan dan kebajikan.
Ahmad Shahir berkata, rakyat sewajarnya menilai rekod pentadbiran berdasarkan pencapaian dan dasar yang dilaksanakan, bukannya terpengaruh dengan retorik yang dibawa individu dari luar Negeri Sembilan.
Menurutnya, ada pihak datang berkempen dengan menggambarkan seolah-olah negeri itu sedang berdepan ancaman terhadap Islam, sedangkan keadaan sebenar menunjukkan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Beliau menegaskan Negeri Sembilan tidak memerlukan politik yang menakut-nakutkan rakyat kerana hubungan antara kaum dan masyarakat Islam di negeri itu kekal baik serta dasar kerajaan terus memberi manfaat kepada rakyat.


