Tok Min Tidak Pernah Usir Tok Mat Dari Kediaman Rasmi Menteri Besar, Itu Adalah Fitnah

LINGGI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menegaskan beliau tidak pernah mengusir bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurut Aminuddin, dakwaan berkenaan merupakan satu cerita rekaan yang sengaja dimainkan bagi mencari simpati politik sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
“Semua pihak mengetahui bahawa Menteri Besar masih memegang jawatan sehingga Menteri Besar baharu dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bersama Undang Yang Empat.
“Jadi, perkara ini tidak seharusnya dipermainkan seolah-olah berlaku pengusiran,”
“Saya nampak perkara ini juga dimainkan untuk mencari simpati. Saya pun tidak tahu sampai ke situ mereka mencari simpati dengan menyatakan bahawa Datuk Seri Tok Mat dihalau ataupun diarahkan keluar daripada rumah sebaik sahaja mereka kalah ataupun Pakatan Harapan menang.
“Saya rasa ini satu cerita rekaan yang dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ziarah kasih bersama penduduk Kampung Balak di sini.
Aminuddin berkata, kediaman rasmi Menteri Besar merupakan milik kerajaan negeri dan penggunaannya tertakluk kepada prosedur ditetapkan.
“Jadi ini satu perkara yang saya rasa tidak wajar dipermainkan seolah-olah saya jahat ataupun dikatakan penyokong saya adalah penyokong yang menghalau.
“Sedangkan rumah tersebut adalah rumah rasmi yang dijaga keselamatannya oleh pihak polis dan saya yakin untuk masuk ke rumah tersebut bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Aminuddin berkata, isu berkenaan walaupun dilihat kecil, namun memberi kesan kepada keluarganya terutama anak-anak.
“Ini satu fitnah yang saya kata terus dimainkan. Walaupun nampak kecil tetapi kesannya kepada keluarga, mereka sanggup berkempen sehingga merosakkan emosi anak-anak saya sendiri.
“Nak kempen, kempenlah. Saya pun kempen, saya tidak kisah siapa pun. Tetapi jangan rosakkan emosi anak-anak kita,” katanya.
Aminuddin turut mengingatkan semua pihak supaya memastikan kempen berlangsung secara harmoni dan tidak menggunakan fitnah sebagai bahan politik.
Terdahulu, anak kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Nur Amalina Aminuddin menerusi hantaran di akaun Threads turut menolak tuduhan berkenaan dan meminta naratif tersebut dihentikan kerana memberi persepsi tidak tepat terhadap bapanya.
Nur Amalina menjelaskan tiada sesiapa mengusir Mohamad Hasan dari kediaman rasmi tersebut sebaliknya keputusan untuk berpindah dibuat selepas Aminuddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar atas faktor keselamatan serta menjaga keselesaan jiran.

