Berita

Isu Ahli Parlimen Jempol, Aminuddin Tegur Jangan Mainkan Institusi Diraja Ketika Berkempen

LINGGI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menegur semua pihak agar tidak memainkan isu melibatkan institusi diraja serta menjaga adab dan kesopanan ketika berkempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Menurut Aminuddin, semua pihak perlu mengelakkan daripada menyentuh perkara sensitif yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat selain menghormati institusi raja dan agama.

“Kita telah ingatkan beberapa kali kepada seluruh parti politik agar menjaga adab dan kesopanan ketika mengadakan kempen pilihan raya pada kali ini.

“Kita tidak ingin melihat bahawa kempen ini dipenuhi dengan fitnah dan cacian yang boleh merosakkan perpaduan, menghina kesultanan ataupun raja-raja ketika kita berkempen,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengulas isu melibatkan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli susulan dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dengan mengaitkan DAP dengan karikatur yang menghina Sultan Selangor ketika kempen PRN Negeri Sembilan baru-baru ini.

Beliau berkata, semua pihak termasuk Ahli Parlimen, ahli politik dan mana-mana individu yang berkempen perlu menghormati institusi raja serta agama dan tidak menjadikan isu sensitif sebagai bahan untuk kepentingan peribadi.

“Saya berharap Ahli Parlimen, ahli-ahli parti politik atau siapa saja yang berkempen agar menghormati institusi raja dan institusi agama supaya mengelakkan perkara ini daripada terus dijaja dan dibawa untuk dijadikan sebagai kempen yang boleh mengaut keuntungan peribadi.

“Apa yang berlaku kepada Ahli Parlimen Jempol tidak harus berulang.

“Sebagai Ahli Parlimen, perlu mempunyai adab, kesopanan yang tinggi dalam menjaga sensitiviti sebuah kaum yang ada di negara kita,” katanya.

Dalam masa sama, Aminuddin turut menyeru supaya kempen yang bersifat perkauman dan agama secara melampau dihentikan kerana boleh memberi kesan terhadap keharmonian masyarakat.

“Jadi saya ingatkan semua supaya hentikan kempen-kempen bersikap perkauman, agama yang melampau dan saya harap bahawa jika ini terus dijalankan ia akan menyebabkan isu yang harus ditanggung oleh mereka sendiri,” katanya.

Aminuddin juga berkata, pihak berkuasa juga perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan berhubung laporan yang dibuat berkaitan isu berkenaan.

Terdahulu, DAP membuat laporan polis terhadap Shamsulkahar susulan dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dengan mengaitkan parti itu dengan karikatur menghina Sultan Selangor ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan.

Laporan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bersama Senator Dr Lingeshwaran Arunasalam, Senator Thiagarajah Arumugam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.

Rayer mendakwa laporan dibuat selepas pihaknya mengesan satu klip video ucapan Shamsulkahar ketika berkempen di kawasan Seremban Jaya yang didakwa mengaitkan DAP dengan karikatur berkenaan.

Susulan laporan itu, polis membuka satu kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan dibuka selepas menerima laporan seorang lelaki berusia 55 tahun di Seremban berhubung satu hantaran video yang memaparkan ucapan Shamsulkahar ketika berkempen.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis turut memaklumkan sebanyak 62 laporan polis diterima manakala 19 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya telah dibuka sepanjang tempoh 18 hingga 28 Julai.

PDRM berkata tahap kesiapsiagaan, pematuhan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan sepanjang tempoh PRN Negeri Sembilan ke-16.

Show More

Related Articles

Back to top button