“Saya siap cari budak ponteng sekolah” – Faez tekad jadikan pendidikan keutamaan di DUN Labu

LABU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Dato’ Ahmad Faez Abdul Razak, bukan sekadar menyalurkan peruntukan kepada sekolah, malah pernah turun bersama pengetua mencari pelajar yang ponteng bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada sistem pendidikan.
Menurut beliau, pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk turun padang bersama pihak sekolah untuk mengesan pelajar
“Saya sehingga satu masa pergi cari budak-budak ponteng sekolah.
“Saya datang dengan pengetua dan saya cari budak-budak yang ponteng sekolah kerana kerisauan kita adalah ada sesetengah ibu bapa menganggap pendidikan ini bukan satu prioriti,” katanya.
Faez berkata, rekod aktivitinya boleh disemak menerusi media sosial yang memaparkan lawatan beliau ke sekolah-sekolah di seluruh DUN Labu bagi membantu menyelesaikan pelbagai isu berkaitan pendidikan.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebahagian besar peruntukan DUN dimanfaatkan bagi meningkatkan kemudahan pendidikan termasuk membaik pulih infrastruktur sekolah, membantu tadika serta menyediakan peralatan bagi menjayakan program seperti podcast sekolah.
“Saya sangat menggalakkan aktiviti di sekolah. Saya banyak guna peruntukan DUN saya untuk membaiki sekolah, banyak saya sumbang untuk tadika, peralatan untuk menjayakan podcast sekolah dan terutamanya untuk tujuan infrastruktur sekolah,” kata Faez.
Pada Pilihan Raya Negeri akan datang, DUN Labu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila Faez dicabar oleh penyandang, Mohamad Hanifah Abu Baker (Bersatu) dan Siti Nur Umaira Hasim yang mewakili BN.
DUN Labu mempunyai seramai 32,884 pengundi berdaftar dengan komposisi Melayu sebanyak 76.2 peratus, Cina (7.4 peratus), India (13.3 peratus), Orang Asli (1.5 peratus) dan lain-lain (1.6 peratus).
Golongan pengundi terbesar di DUN Labu ialah mereka yang berusia antara 21 hingga 29 tahun, iaitu seramai 8,616 orang, terdiri daripada 4,426 lelaki dan 4,190 wanita.




