Isu Agihan Wang Di Chuah, Aminuddin Tegas Fitnah Tidak Wajar Jadi Modal Kempen

LINGGI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyifatkan dakwaan kononnya berlaku pemberian wang kepada pengundi di kawasan Chuah sebagai satu fitnah yang sengaja dimainkan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menurut Aminuddin, tuduhan seperti itu tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen kerana boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan.
“Kita tengok hampir hari mengundi, kempen untuk usulkan fitnah semakin hebat.
“Termasuk yang terkini, dakwaan kata ada diberikan duit kepada pengundi di kawasan Chuah seperti yang tersebar di media sosial.
“Ini boleh menyebabkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan penduduk Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Aminuddin berkata, dakwaan tersebut berada di luar bidang kuasa parti politik dan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Kita tidak tahu siapa yang mereka boleh sokong dengan cara begitu di Chuah.
“Saya rasa perkara ini tidak harus dijadikan sebagai budaya dan ia perlu dihentikan sendiri,” katanya.
Terdahulu, calon Pakatan Harapan (PH) DUN Chuah, Yew Boon Lye membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Pelandok berhubung penularan video yang mendakwa terdapat individu disyaki mengagihkan wang di kawasan berkenaan.
Yew yang juga penyandang kerusi DUN Chuah menegaskan beliau tidak pernah terlibat, merestui atau mengarahkan mana-mana individu menawarkan wang atau apa-apa bentuk imbuhan sebagai pertukaran mendapatkan undi.
Menurutnya, beliau juga tidak pernah meminta mana-mana pihak melakukan perbuatan sedemikian bagi pihaknya malah menentang sekeras-kerasnya amalan politik wang dan pembelian undi.
“Menggunakan wang untuk mempengaruhi pilihan pengundi bukan sahaja melanggar undang-undang pilihan raya malah mencabuli hak pengundi untuk membuat pilihan secara bebas serta merosakkan keadilan dan maruah sistem demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, tular di media sosial satu klip video yang memaparkan orang ramai berebut-rebut di sebuah lokasi bagi mendapatkan wang yang didakwa berlaku di kawasan DUN Chuah.
Turut tersebar gambar sejumlah wang di dalam sampul surat yang didakwa diterima penduduk dan kejadian itu dikaitkan dengan dakwaan menagih undi sempena PRN Negeri Sembilan ke-16.
Bagaimanapun, Yew berkata, sumber video yang tular itu masih belum diketahui manakala latar belakang rakaman, masa, lokasi, identiti individu terlibat serta tujuan wang tersebut diberikan juga masih belum dapat dipastikan.
Yew berkata, sebelum pihak polis menjalankan siasatan, video berkenaan telah dikaitkan dengan dirinya dan PH yang dijadikan asas untuk menuduh kononnya berlaku pembelian undi.
“Perbuatan melemparkan tuduhan, memfitnah dan memburukkan nama seseorang secara terbuka tanpa sebarang pengesahan merupakan tindakan yang amat keji dan sama sekali tidak bertanggungjawab,” katanya.



