Kemudahan Asas, Peluang Pekerjaan Antara Fokus Zarinna di Lenggeng
LENGGENG: Penyediaan kemudahan asas yang lebih lengkap serta peluang pekerjaan untuk golongan muda menjadi antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Zarinna Abu Zarin dalam usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Menurut beliau, maklum balas yang diterima sepanjang tempoh berkempen menunjukkan setiap kawasan di DUN Lenggeng mempunyai keperluan berbeza berdasarkan kedudukan geografi dan tahap pembangunan setempat.
“Kawasan utara yang merangkumi Lenggeng, Bandar Tasik Senangin (BTS), Broga dan Ulu Beranang masih memerlukan beberapa kemudahan asas bagi memenuhi keperluan harian penduduk.
“Antara perkara yang sering disuarakan penduduk ialah keperluan stesen minyak, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pasar mini dan klinik swasta.
“Itu antara perkara yang saya dapati hasil turun padang dan bertemu masyarakat di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengunjungi peniaga di Pasar Malam Bandar Tasik Senangin, di sini, hari ini.
Menurutnya, kawasan lain dalam DUN Lenggeng pula berdepan cabaran berbeza termasuk isu berkaitan tanah, selain keperluan perumahan yang semakin meningkat.
“Peluang pekerjaan khususnya untuk anak muda juga menjadi antara perkara yang sering dibangkitkan penduduk dan memerlukan perhatian sewajarnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zarinna berkata penerimaan masyarakat terhadap kempen yang dijalankan setakat ini amat menggalakkan dan memberi semangat kepada beliau untuk terus mendekati rakyat sehingga hari terakhir kempen.
“Alhamdulillah, perjalanan kempen kita semakin semarak dan penerimaan masyarakat sangat memberangsangkan.
“Kita akan terus bekerja dan mendekati rakyat sehingga saat akhir sebelum hari pengundian,” tambahnya.
Mengulas mengenai tawaran yang dibawanya, Zarinna berkata beliau telah melancarkan tujuh tawaran khusus untuk masyarakat Lenggeng yang melengkapi agenda pembangunan kerajaan negeri dan Pakatan Harapan.
Tawaran tersebut merangkumi Inisiatif KASIH Rahmah Lenggeng yang memberi penekanan kepada sokongan pendidikan, kebajikan golongan rentan serta pemerkasaan Skuad KASIH Lenggeng.
Selain itu, menerusi teras Anak Muda Lenggeng Dijaga, beliau berhasrat memperluaskan akses kepada latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kemahiran digital serta pembangunan bakat belia.
Bagi meningkatkan peluang ekonomi penduduk, beliau turut memperkenalkan Pusat Peluang Kerjaya dan Keusahawanan yang bertujuan membantu padanan pekerjaan dengan industri serta melatih usahawan muda dalam bidang pemasaran digital.
Zarinna turut memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan komuniti menerusi teras Lenggeng Bersih, Selamat dan Selesa yang menekankan pemeliharaan kemudahan asas dan persekitaran tempat tinggal yang kondusif.
Tiga lagi tawaran yang diketengahkan ialah Lenggeng Aktif dan Sihat bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, Wanita Lenggeng Berdaya untuk memperkasakan wanita serta ibu tunggal, dan Lenggeng Destinasi Ekonomi dan Warisan yang memanfaatkan potensi pelancongan serta warisan tempatan sebagai pemangkin ekonomi.
Hal ini kerana, Zarinna mahu memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat pembangunan dan tidak ada yang tercicir.



