Zarinna Mahu Fokus Kepada Rakyat, Kempen Tidak Terganggu Dengan Isu Perkauman
LENGGENG: Tumpuan terhadap kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 meskipun pelbagai sentimen termasuk isu perkauman dimainkan menjelang hari pengundian.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Zarinna Abu Zarin berkata, politik yang berteraskan perpecahan tidak akan memberi manfaat kepada rakyat, sebaliknya semua pihak perlu mengutamakan perpaduan serta sikap saling menghormati.
“Memang banyak sentimen yang dimainkan ketika kempen, tetapi saya tidak mahu hilang fokus kerana fokus saya adalah untuk rakyat dan masyarakat.
“Saya akan teruskan usaha mendekati rakyat kerana apa yang penting ialah memastikan kebajikan dan keperluan mereka terus diberi perhatian,” katanya ketika ditemui media semasa mengunjungi peniaga di Pasar Malam Bandar Tasik Senangin, di sini, hari ini.
Beliau berkata, masyarakat perlu terus mempertahankan nilai hormat-menghormati serta mengelakkan sebarang unsur yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum.
Menurutnya, budaya santun-menyantuni dan kehidupan yang harmoni perlu dipelihara bagi memastikan kestabilan serta kesejahteraan masyarakat di Negeri Sembilan terus berkekalan.
Dalam pada itu, Zarinna bersyukur kerana perjalanan kempennya setakat ini berjalan lancar dan tidak banyak terjejas walaupun terdapat pihak yang cuba memainkan sentimen tertentu.
“Alhamdulillah, setakat hari ini perjalanan kempen berjalan dengan baik dan tidak banyak terganggu dengan sentimen yang dimainkan.
“Apa yang penting, saya akan terus memberi tumpuan kepada rakyat dan meneruskan kempen secara positif sehingga hari pengundian,” katanya.



