Anwar Tegas Tolak Politik Perkauman, Seru Rakyat Malaysia Kekal Bersatu

SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim menegaskan politik berasaskan kaum perlu ditolak kerana setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa mempunyai hak yang sama sebagai warganegara.
Perdana Menteri berkata, tindakan mana-mana pihak yang menyeru masyarakat berketurunan Cina pulang ke China atau masyarakat India kembali ke India adalah tidak wajar kerana mereka lahir serta membesar di Malaysia.
“Pendekatan sedemikian hanya akan memecahbelahkan rakyat selain bercanggah dengan nilai kemanusiaan yang turut ditekankan dalam ajaran Islam.
“Saya nak Melayu yang baik, Cina yang baik, India yang baik dan Orang Asli yang baik. Mereka semua sebahagian daripada keluarga saya,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Sikamat, malam tadi.
Anwar turut mengimbau sejarah Islam dengan mengambil contoh Rasulullah SAW yang mengangkat martabat Bilal Rabah, seorang sahabat yang berasal dari Habsyah, sebagai bukti bahawa Islam menolak diskriminasi berdasarkan kaum.
Menurutnya, Malaysia hanya mampu mencapai kemajuan sekiranya seluruh rakyat bersatu dan mengetepikan sentimen perkauman.
“Masyarakat sering membantu antara satu sama lain ketika ditimpa musibah tanpa mengira agama atau bangsa. Ini membuktikan nilai kemanusiaan lebih penting daripada perbezaan kaum,” tambahnya.
Hal ini kerana, Anwar menegaskan kerjasama semua kaum amat penting bagi memastikan Malaysia terus berkembang sebagai sebuah negara yang berjaya.
“Politik kebencian hanya akan melemahkan negara sedangkan Malaysia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara ekonomi terbaik di rantau Asia.
“Prestasi ekonomi negara kini menunjukkan perkembangan positif apabila kadar pertumbuhan ekonomi mencapai 5.8 peratus selain ringgit muncul antara mata wang berprestasi terbaik di Asia.
“Kejayaan ekonomi hanya bermakna sekiranya rakyat turut menikmati manfaat melalui peningkatan pendapatan dan kos sara hidup yang lebih terkawal,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan melaksanakan semakan gaji penjawat awam selepas lebih sedekad tidak disemak, termasuk kenaikan minimum sebanyak tujuh peratus dengan kadar lebih tinggi diberikan kepada kumpulan berpendapatan lebih rendah.
Anwar berkata, kerajaan turut mengambil langkah memotong gaji menteri sebagai tanda komitmen untuk mengutamakan kebajikan rakyat.
“Kita perlukan Melayu, Cina dan India bekerja bersama. Kalau kita tidak berpakat, kita semua akan rugi,” katanya.



