Politik Perkauman Hanya Jejas Keharmonian Negeri Sembilan – Nor Azman

SEREMBAN: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak seharusnya dicemari dengan permainan sentimen kaum dan agama kerana pendekatan itu hanya akan menjejaskan perpaduan yang sekian lama menjadi kekuatan rakyat di negeri ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Azman Mohamad nor berkata, rakyat Negeri Sembilan perlu terus hidup dalam suasana harmoni selepas pilihan raya berakhir, justeru semua pihak perlu mengelakkan retorik yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Pemimpin dari luar negeri hanya hadir sepanjang tempoh berkempen, namun rakyat tempatan akan terus hidup bersama tanpa mengira kaum dan agama.
“Kamu berkempen dua minggu tetapi kami di Negeri Sembilan akan hidup bersama selama-lamanya.
“Jangan rosakkan keharmonian yang telah sekian lama kita bina semata-mata untuk memenangi pilihan raya,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Sikamat, malam tadi.
Beliau turut menyeru semua parti yang bertanding supaya menumpukan kempen kepada rekod pentadbiran, dasar serta tawaran kepada rakyat, bukannya menggunakan sentimen perkauman atau agama bagi meraih sokongan.
Menurutnya, pengundi wajar membuat penilaian berdasarkan prestasi dan pencapaian kerajaan, selain manifesto yang ditawarkan demi masa depan negeri.
Dalam pada itu, Nor Azman menegaskan kerjasama PH bersama DAP tidak pernah menghalang usaha Kerajaan Negeri memperkukuh syiar Islam sepanjang mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018.
“Setiap inisiatif berkaitan pembangunan Islam mendapat sokongan daripada semua parti dalam kerajaan negeri, termasuk peningkatan peruntukan tahunan bagi hal ehwal agama.
“Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan 10 masjid dengan nilai keseluruhan RM90 juta, pembinaan Kompleks Pengajian Tinggi Agama bernilai RM15 juta serta kerja menaik taraf Masjid Negeri bernilai RM20 juta.
“Segala usaha untuk memartabatkan syiar Islam sentiasa mendapat sokongan rakan-rakan dalam kerajaan negeri kerana mereka memahami kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kepentingannya di Negeri Sembilan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen yang menggunakan sesebuah parti sebagai bahan untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Sebaliknya, beliau berkata, setiap gabungan politik mempunyai parti komponennya sendiri dan kempen pilihan raya sepatutnya memberi tumpuan kepada dasar, pencapaian serta perancangan yang mampu membawa manfaat kepada rakyat.



