Kerugian RM12 Bilion Tabung Haji Wajar Disiasat Secara Menyeluruh – Anwar

SEREMBAN: Kerugian yang dianggarkan mencecah RM12 bilion melibatkan Tabung Haji disifatkan sebagai isu serius yang memerlukan siasatan menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan sebarang salah laku dapat diambil tindakan mengikut undang-undang.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berkata, rakyat perlu meneliti keseluruhan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung isu tersebut.
“Kerajaan mengambil keputusan untuk mendedahkan laporan berkenaan kepada umum atas prinsip ketelusan dan hak rakyat mengetahui keadaan sebenar institusi itu.
“Dulu orang kata tiada penyelewengan, tiada bukti. Tetapi baca laporan itu. RM10 bilion hilang, ditambah lagi RM2 bilion, jumlahnya RM12 bilion,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan di Sikamat, di sini, malam tadi.
Menurutnya, kerugian itu melibatkan simpanan pendeposit termasuk rakyat berpendapatan rendah yang menabung sedikit demi sedikit untuk menunaikan ibadah haji.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat unsur jenayah, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa untuk menjalankan siasatan.
“Biarlah SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan. Pendakwaan pula dilakukan oleh Peguam Negara manakala keputusan dibuat oleh mahkamah. Kerajaan tidak akan campur tangan.
“Pentadbiran Kerajaan MADANI kekal berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta komited memastikan budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa dibanteras tanpa mengira kedudukan individu yang terlibat.
“Negara memiliki sumber yang mencukupi untuk menjamin kesejahteraan rakyat, namun ketamakan dan amalan rasuah menyebabkan hasil negara serta dana institusi penting seperti Tabung Haji terjejas,” katanya sambil memetik kata-kata Mahatma Gandhi.
Dalam pada itu, Anwar turut menggesa pengundi memberikan sokongan kepada calon PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan agenda reformasi, tadbir urus yang baik serta usaha membanteras rasuah dapat diteruskan.
Terdahulu, laporan penuh RCI berhubung pengurusan Tabung Haji telah didedahkan kepada umum bagi membolehkan orang ramai meneliti dapatan dan syor yang dikemukakan.



