107 kes rasisme pada 2025, tertinggi dalam 11 tahun

KUALA LUMPUR: Sebanyak 107 kes perkauman (rasisme) direkodkan sepanjang tahun lalu, sekali gus menjadi angka tertinggi pernah dicatatkan sejak inisiatif pemantauan oleh Pusat KOMAS dimulakan 11 tahun lalu.
Menerusi Laporan Rasisme Malaysia 2025 yang dikeluarkan pada Isnin, pertubuhan hak asasi manusia itu mendedahkan Dewan Rakyat kekal sebagai penyumbang terbesar insiden berkenaan bagi tahun kedua berturut-turut dengan 43 kes atau 40.2 peratus daripada keseluruhan.
Menurut laporan itu, kekerapan insiden di Parlimen lebih mudah dikenal pasti kerana prosiding direkodkan secara rasmi melalui Hansard, sekali gus memudahkan pengesahan kenyataan berbaur perkauman.
Daripada jumlah itu, subkategori ‘Racial Majoritarianism’ dan politik Artikel 153 mencatatkan jumlah tertinggi dengan 18 kes (16.8 peratus), diikuti retorik xenofobia sebanyak sembilan kes (8.4 peratus), manakala retorik agama dan politik ketakutan mencatatkan lapan kes.
Selain itu, isu bahasa dan pengecualian merekodkan enam kes, manakala penggunaan isu Palestin serta rumah ibadat masing-masing mencatatkan satu kes.
Di luar Parlimen, kategori prasangka dan provokasi mendominasi dengan 17 kes (15.9 peratus), diikuti diskriminasi agama sebanyak 10 kes (9.3 peratus).
Laporan itu turut menyatakan sektor perniagaan dan tempat kerja serta kategori politik masing-masing mencatatkan lapan kes, diikuti sektor pendidikan dengan enam kes, xenofobia lima kes, manakala polisi serta perumahan atau sewaan masing-masing tiga kes.
Kategori hasutan dan lain-lain pula merekodkan jumlah paling kecil iaitu dua kes setiap satu.
Pusat KOMAS menegaskan peningkatan kes ini menunjukkan ketegangan kaum dan agama masih berterusan dalam pelbagai ruang, daripada interaksi sosial harian hingga ke peringkat pembuat dasar, sekali gus menggesa pihak berkuasa dan masyarakat sivil memperkukuh usaha menangani retorik perkauman serta diskriminasi dalam negara.


