1,349 rakyat Negeri Sembilan jadi tetamu Allah tahun ini
SEREMBAN: Seramai 1,349 rakyat Negeri Sembilan bakal menjadi tetamu Allah bagi menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kita perlu bersyukur apabila terpilih untuk menunaikan ibadah ini.
“Hal ini kerana jumlah yang berpeluang untuk ke sana hanyalah lebih kurang 3 peratus sahaja daripada seluruh rakyat Negeri Sembilan.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada para jemaah supaya sekiranya terdapat mereka yang memerlukan bantuan, seperti warga emas yang uzur, supaya bantulah mereka.
“Jika kita hanya mengharapkan pegawai tabung Haji sahaja, mereka tidak ramai, oleh itu ia adalah kesempatan untuk kita mempermudahkan urusan orang lain di sana.
“Ini kerana sewaktu di sana, kita adalah satu keluarga, oleh itu hendaklah kita saling bantu-membantu,” kata Aminuddin.
Aminuddin turut mengingatkan sekiranya terdapat kekurangan sewaktu berada di sana janganlah dengan mudah disebarluaskan ke dalam media sosial.
“Ini kerana kita adalah tetamu Allah, oleh itu kita perlu bersyukur dengan apa yang kita terima.
“Ia juga merupakan ujian kepada kita sewaktu berada di sana,” ujar beliau.