YB Kita

165 murid SK Rembang Panas terima Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM24,750

SENALING: Seramai 165 orang murid dari Sekolah Kebangsaan Rembang Panas menerima manfaat menerusi Program Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026 yang berlangsung di sekolah tersebut dengan jayanya.

Bagi Sekolah Kebangsaan Rembang Panas, sebanyak RM24,750.00 diperuntukkan dan diberikan kepada semua murid di sekolah ini. Inisiatif ini memberi manfaat kepada 165 orang murid di sekolah tersebut.

Exco Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Dato’ Ismail Lasim berkata, program tersebut bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan awal persekolahan, sekali gus memastikan murid-murid dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin, ceria dan bersemangat.

Beliau juga menyeru ibu bapa atau penjaga dan murid yang menerima manfaat Bantuan Awal Persekolahan 2026 agar dapat meningkatkan motivasi murid untuk membina kecemerlangan supaya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Beliau menambah, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masa depan generasi muda dan bantuan yang disampaikan diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada murid-murid untuk terus berusaha, berdisiplin serta mencapai kejayaan dalam pelajaran.

“Bantuan Awal Persekolahan mula diperkenalkan sejak tahun 2012 sebagai bantuan tunai one-off sebanyak RM100 dan diberikan kepada keluarga dengan pendapatan isi rumah kasar RM3,000 dan ke bawah yang bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.

“Namun pada tahun 2023, kadar Bantuan Awal Persekolahan telah dinaikkan ke RM150 untuk setiap murid dan ia diberikan secara sejagat kepada semua tanpa mengira pendapatan isi rumah kasar.

“Ini merupakan satu usaha untuk memastikan setiap anak Malaysia mendapat pendidikan yang berkualiti tanpa mengira latar belakang keluarga.

“Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan komited meneruskan inisiatif bantuan ini pada tahun yang ke-14 dengan bantuan sebanyak RM150 bagi memastikan tiada murid yang tercicir atau terhalang daripada meneruskan pendidikan mereka akibat kesulitan kewangan,” Ismail.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah, barisan guru, jawatankuasa penganjur serta ibu bapa atas kerjasama erat dalam menjayakan program berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button