Berita

DAP Sasar Pertahan Semua Kerusi, Yakin Pengundi Nilai Prestasi Wakil Rakyat

SEREMBAN: Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyasarkan untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sekali gus meneruskan rekod cemerlang parti itu sejak tahun 2013.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti tersebut telah memenangi kesemua kerusi yang ditandinginya dalam tiga pilihan raya berturut-turut di negeri itu.

“Sejak 2013, tiga kali pilihan raya berturut-turut, kita mendapat prestasi yang cemerlang iaitu memenangi semua kerusi yang kita tandingi.

“Jadi memang misi kita untuk mengulangi keputusan tersebut iaitu mempertahankan semua kerusi yang telah kita menang termasuklah di Lobak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan skrin elektronik LED Dataran Lobak serta mengumumkan calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak, di sini, hari ini.

Anthony berkata, walaupun PRN kali ini dijangka menyaksikan penyertaan lebih banyak parti dan calon, keadaan itu merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati.

“Ini pesta demokrasi. The more the merrier.

“Kita tidak boleh menghalang mana-mana parti atau calon untuk bertanding. Ini memang satu senario baharu dalam politik negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin pengundi akan membuat pilihan berdasarkan prestasi parti dan wakil rakyat yang telah berkhidmat sebelum ini, bukannya parti yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.

“Saya yakin bahawa rakyat tahu menilai, terutamanya kalau parti-parti yang hanya muncul semasa pilihan raya.

“Pengundi masih menilai prestasi sesuatu parti dan prestasi wakil rakyat pada waktu biasa.Kalau penyandang itu buat kerja dengan baik dan penuh dedikasi, pengundi akan menilainya,” katanya.

Menurut beliau, pembubaran DUN yang berlaku secara mengejut tidak menimbulkan masalah kepada DAP kerana jentera parti sentiasa bergerak melalui program dan aktiviti akar umbi.

Katanya, kekuatan parti serta perpaduan dalam kalangan pemimpin dan anggota menjadi kunci utama bagi memastikan kemenangan dapat dipertahankan.

“Kalau dipilih, kita buat yang terbaik. Kalau tidak dipilih mewakili parti, maka bantulah mereka yang dipilih. Itu semangatnya,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button