20 PPS dibuka di Negeri Sembilan
SEREMBAN: Sebanyak 20 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Negeri Sembilan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun melalui kenyataan medianya berkata, 11 buah PPS dibuka di daerah Tampin, empat di daerah Kuala Pilah, satu di daerah Port Dickson dan empat di daerah Jempol.
“Beberapa sungai juga sudah melepasi paras bahaya setakat jam 6 petang tadi.
“Saya telah mengarahkan semua Pegawai Daerah yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah untuk memastikan setiap PPS dan kawasan terlibat banjir dipantau dengan rapi.
“Bantuan-bantuan kepada mangsa banjir juga telah diselaraskan dengan kerjasama agensi-agensi berkait.
“Laporan banjir di Negeri Sembilan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada mangsa banjir agar tidak kembali ke rumah masing-masing sehingga mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Negeri Sembilan Command Centre (NeSCOM) berada dalam keadaan berwaspada bagi sebarang situasi banjir di negeri ini.
“kerja-kerja pembersihan rumah terjejas banjir akan dilaksanakan sejurus situasi banjir berakhir,” kata Aminuddin.