20,000 Rumah Mampu Milik Jadi Sasaran, Aminuddin Teruskan Usaha Bantu Rakyat Miliki Rumah Sendiri

LINGGI: Penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) yang menjadi antara dasar perumahan Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini akan terus diperkasa dengan sasaran tambahan 20,000 unit kediaman bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri yang selesa, selamat dan mampu dimiliki.
Komitmen itu turut digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebagai usaha memastikan lebih ramai rakyat mendapat peluang memiliki kediaman sendiri.
Menurut, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan dasar perumahan sedia ada termasuk penyediaan RMM menerusi kerjasama dengan pemaju.
“Beberapa kategori RMM sedang dilaksanakan termasuk kediaman berharga RM450,000, RM250,000 dan RM110,000.
“Kita memang dalam manifesto telah letakkan jumlah tersebut dan sedang melaksanakan RMM yang berharga RM450,000, RM250,000 dan RM110,000 dengan kerjasama pemaju.
“Ia adalah antara dasar perumahan negeri yang masih kita kekalkan dan saya berharap inisiatif ini memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas program ziarah kasih di sekitar kawasan perumahan di Bandar Baru Sunggala di sini.
Aminuddin berkata, rakyat khususnya golongan yang memerlukan perlu mengambil peluang apabila tawaran RMM (Type A) dibuka dengan memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan.
“Peluang memiliki rumah sendiri perlu dimanfaatkan kerana dasar perumahan seperti itu tidak datang pada setiap masa.
“Saya menyeru kepada anak-anak Negeri Sembilan apabila ada tawaran mengenai RMM (Type A) supaya bersungguh-sungguh mengisi permohonan dan memastikan mereka mempunyai kelayakan.
“Kita mahu RMM (Type A) ini memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan. Golongan B40 ke bawah ini penting kerana peluang seperti ini datang bukan selalu,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif ‘Rumah Harapan’ yang akan diperbesarkan jumlahnya setiap tahun bagi membantu masyarakat yang mahu terus menetap di kampung halaman.
“Rumah Harapan ini adalah untuk golongan yang ingin tinggal di kampung mereka sendiri, di tapak rumah sendiri, tanah milik keluarga, ibu bapa ataupun milik sendiri.
“Kita mahu membantu masyarakat yang ingin tinggal di kampung.
“Kita tidak mahu kampung terus ditinggalkan sehingga menjadi kampung yang kosong dan akhirnya ramai berhijrah ke bandar,” katanya.
Aminuddin berkata, Rumah Harapan ketika ini bernilai RM85,000 namun jumlah tersebut akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan kos pembinaan semasa.
“Rumah ini berharga RM85,000 sekarang tetapi bergantung kepada kos semasa.
“Kita tidak menggunakan faedah dalam pembayaran dan tidak mengenakan sebarang caj faedah kepada pembeli.
“Mereka hanya terus membuat bayaran kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS),” katanya.
Sebelum ini ketika ditemui selepas program ziarah kasih di Kampung Pengkalan Durian, Linggi, Aminuddin turut menjelaskan usaha kerajaan negeri menyelesaikan isu penempatan penduduk yang tinggal di kawasan setinggan menerusi tawaran RMM (Type A).
Menurutnya, isu penempatan penduduk di atas tanah rizab kerajaan telah berlarutan sejak sekian lama dan kerajaan negeri mengambil pendekatan menyelesaikannya secara berperingkat.
Aminuddin berkata, antara kawasan yang telah diberi perhatian ialah Kampung Ulu dan Kampung Pasir apabila penduduk ditawarkan kediaman baharu menerusi RMM (Type A).
“Kita telah tawarkan mereka untuk tinggal di rumah Type A yang mereka pilih sendiri sama ada di Iringan Bayu atau di mana-mana lokasi yang sesuai.
“Kita cuba dapatkan dan selesaikan serta membantu mereka dengan memudahkan urusan bank,” katanya.
Aminuddin berkata, langkah itu bertujuan memastikan penduduk terbabit memperoleh kediaman yang mempunyai hak milik serta tidak terus tinggal di kawasan yang tidak boleh diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kita bantu dan kita tidak mahu mereka tinggal di setinggan yang tidak boleh diwariskan kepada anak cucu mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, setakat 2026, sebanyak 30,000 unit RMM telah diluluskan Kebenaran Merancang di Negeri Sembilan.
Pelaksanaan dasar perumahan berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperluaskan akses rakyat terhadap kediaman mampu milik, khususnya bagi golongan yang memerlukan.



