Berita

Program Kesejahteraan Warga ATM Perkukuh Semangat Kebersamaan, Dekatkan Tentera Dengan Masyarakat

PORT DICKSON: Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan bukan sahaja bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anggota dan keluarga mereka, malah menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan serta mengeratkan hubungan antara tentera dan masyarakat.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran program itu merupakan antara usaha Kementerian Pertahanan untuk mengisi masa lapang anggota tentera dengan aktiviti yang bermanfaat di samping memupuk nilai-nilai penting dalam perkhidmatan ketenteraan.

“Semangat esprit de corps, kebersamaan dan kesatuan perlu terus diperkasakan kerana menjadi asas kepada keberanian, kesetiaan serta keupayaan anggota menghadapi pelbagai cabaran termasuk ketika berdepan konflik dan peperangan.

“Melalui program ini, kita berusaha memupuk nilai dan semangat yang perlu ada dalam kalangan anggota ATM. Yang paling penting ialah semangat esprit de corps, semangat kebersamaan dan kesatuan.

“Kita percaya semangat ini akan mendorong keberanian, kesetiaan serta meningkatkan kekuatan anggota dalam menghadapi apa sahaja cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Kesejahteraan Warga ATM Zon Selatan, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kementerian turut berhasrat memperluaskan penyertaan masyarakat dalam program seumpama itu bagi mewujudkan hubungan yang lebih rapat antara orang awam dan ATM.

Menurutnya, penglibatan masyarakat amat penting bagi memastikan konsep pertahanan menyeluruh dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan sekadar teori.

“Kita mahu masyarakat berinteraksi dengan tentera melalui program seperti ini supaya kesedaran terhadap peranan mereka dalam mempertahankan negara dapat dipertingkatkan.

“Soal pertahanan negara bukan lagi tanggungjawab eksklusif Angkatan Tentera Malaysia semata-mata, sebaliknya masyarakat juga mempunyai peranan yang boleh dimainkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ancaman keselamatan masa kini tidak lagi tertumpu kepada peperangan konvensional, sebaliknya melibatkan ancaman hibrid termasuk serangan melalui media sosial, gangguan terhadap infrastruktur kritikal serta usaha mempengaruhi pemikiran dan persepsi masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, program kesejahteraan warga ATM akan terus dimanfaatkan sebagai medium memperkukuh hubungan antara tentera dan masyarakat sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman.

Show More

Related Articles

Back to top button