Berita

Malaysia Perkukuh Perolehan Pertahanan G2G, Utamakan Negara Dipercayai dan Pemindahan Teknologi

PORT DICKSON: Malaysia akan terus memperluaskan kaedah perolehan pertahanan secara kerajaan dengan kerajaan (Government-to-Government, G2G) dengan memberi keutamaan kepada negara yang boleh dipercayai serta bersedia memindahkan teknologi bagi memperkukuh industri pertahanan tempatan.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, aspek kepercayaan dan kesediaan rakan strategik untuk berkongsi teknologi merupakan antara kriteria utama sebelum kerajaan memeterai sebarang perjanjian perolehan pertahanan secara G2G.

“Kita mahu memastikan negara yang kita berurusan ialah negara yang boleh dipercayai dan bersedia memindahkan teknologi kepada Malaysia bagi membantu membangunkan industri pertahanan negara.

“Itu antara beberapa kriteria yang kita gunakan dalam melaksanakan kaedah perolehan kerajaan dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, selain memperoleh harga yang lebih kompetitif, kaedah G2G turut menawarkan jaminan bekalan aset kerana urusan dibuat secara terus antara kerajaan tanpa melibatkan orang tengah.

“Apabila dibuat secara kerajaan dengan kerajaan, prosesnya lebih telus, harganya lebih baik kerana tiada orang tengah, selain terdapat jaminan daripada kerajaan yang menjadi rakan perolehan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan hanya melaksanakan urusan pembelian, manakala spesifikasi aset yang diperlukan ditentukan sepenuhnya oleh cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikut keperluan operasi masing-masing.

“Perkhidmatan darat, laut dan udara yang menetapkan spesifikasi aset. Bukan kerajaan membeli sesuka hati, sebaliknya dibuat berdasarkan keperluan yang dikenal pasti oleh perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan menerusi kaedah G2G, dengan Malaysia setakat ini telah menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) bersama Turkiye dan Korea Selatan.

Katanya, beberapa negara lain termasuk Itali dan Perancis turut menyatakan minat untuk menjalin kerjasama perolehan pertahanan secara G2G dengan Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia berjaya mengurangkan kos perolehan Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) sebanyak 15 peratus menerusi rundingan terus kerajaan dengan kerajaan bersama Turkiye.

Menurut beliau, cadangan itu dikemukakan kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan, dan dipersetujui kedua-dua pihak, sekali gus membolehkan kerajaan memperoleh penjimatan kos bagi projek berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button