Berita

‘Saya tumpang gembira kawan-kawan M40 turut dibantu’

SEREMBAN: Seorang lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melahirkan rasa gembira apabila Manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan buat pertama kali memperluaskan pelbagai insentif pendidikan kepada pelajar daripada keluarga M40, sekali gus membolehkan lebih ramai anak muda menikmati bantuan Kerajaan Negeri.

Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Alia Helmi, 20, berkata, beliau bersyukur kerana rakan-rakannya daripada keluarga M40 yang sebelum ini tidak layak menerima kebanyakan bantuan kini turut berpeluang menikmati manfaat sekiranya PH diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.

“Saya tumpang gembira kerana saya ada kawan-kawan daripada golongan M40.

“Kadang-kadang kesian juga tengok mereka bila tidak layak mendapat apa-apa bantuan atau insentif daripada Kerajaan Negeri.

“Tapi kali ini kalau Pakatan Harapan menang, mereka juga akan dapat bantuan,” katanya.

Alia yang sedang menunggu tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda berkata, bantuan pendidikan yang ditawarkan menerusi manifesto itu amat bermakna kepada pelajar yang bakal memulakan kehidupan di universiti.

Menurutnya, bantuan komputer riba mengikut spesifikasi kursus, Bantuan Sara Hidup Mahasiswa sebanyak RM2,400 setahun serta kenaikan insentif kemasukan ke IPT daripada RM1,000 kepada RM1,200 mampu meringankan beban kewangan pelajar dan keluarga B40 dan M40.

“Bagi saya, insentif kepada pelajar yang menyambung pengajian ke IPT, sumbangan komputer riba percuma dan Bantuan Sara Hidup Mahasiswa RM2,400 setahun ini akan memudahkan urusan kami sebagai pelajar yang menyambung pengajian di universiti.

“Saya juga teliti Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan dan mendapati insentif untuk pelajar yang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda telah dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,200,” kata Alia.

Alia turut berkongsi pengalaman menerima manfaat daripada inisiatif Kerajaan Negeri sebelum ini apabila memperoleh kad SIM CelcomDigi percuma melalui Yayasan Negeri Sembilan yang menyediakan kemudahan internet kepada pelajar STPM.

“Saya pernah menerima kad SIM CelcomDigi percuma daripada Yayasan Negeri Sembilan yang menawarkan kemudahan internet percuma kepada pelajar STPM.

“Saya dapat menggunakannya dengan baik selama enam bulan secara percuma dan sambungan internetnya sangat laju,” jelas Alia.

Pakatan Harapan Negeri Sembilan menawarkan manifesto dengan insentif dan bantuan untuk golongan B40 dan M40 dengan pendapatan isi rumah maksimum RM8,000.

Pelajar dari keluarga M40 layak mendapat bantuan seperti insentif menyambung pengajian ke IPT, komputer riba percuma dan Bantuan Sara Hidup Mahasiswa (RM200 x 12 bulan = RM2,400 setahun).

Show More

Related Articles

Back to top button