Berita

Manifesto BN, PN Ambil Inspirasi Dasar PH, Bukti Manifesto PH Negeri Sembilan Diterima Rakyat – Aminuddin

LINGGI: Persamaan antara manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dengan tawaran Pakatan Harapan (PH) menunjukkan kedua-dua gabungan parti itu mengambil inspirasi daripada dasar yang telah dilaksanakan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH Negeri Sembilan sekali gus membuktikan tawaran PH mendapat penerimaan rakyat.

Menurut, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dibentangkan lebih awal sebelum ini dilihat mempunyai beberapa persamaan dengan tawaran yang diketengahkan oleh BN dan PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

“Ini menunjukan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) turut melihat dasar yang dibawa Pakatan Harapan (PH) sebagai sesuatu yang mempunyai nilai serta mendapat perhatian rakyat.

“Manifesto BN dan PN adalah hampir serupa tetapi berasingan walaupun kita tahu banyak yang diambil daripada Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ziarah kasih di Linggi, di sini.

Aminuddin menyifatkan manifesto yang ‘ditiru’ oleh kedua-dua gabungan parti itu menunjukkan bahawa mereka yakin sebenarnya manifesto Pakatan Harapan (PH) boleh diterima dan mendapat sokongan daripada rakyat.

“Ini membuktikan manifesto yang dibawa PH bukan sekadar janji pilihan raya sebaliknya berdasarkan kepada usaha yang telah dilaksanakan sepanjang pentadbiran kerajaan negeri.

“Jadi mereka tidak boleh lari daripada manifesto yang disediakan oleh Pakatan Harapan kerana apa yang kita tawarkan hari ini adalah apa yang kita telah jayakan” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyentuh mengenai hubungan antara BN dan PN yang menurutnya sudah diketahui umum walaupun kedua-dua gabungan tersebut cuba menampilkan gambaran berbeza sepanjang kempen PRN.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua parti sebelum ini jelas apabila berlaku pembahagian kerusi serta sokongan politik antara mereka.

“Hubungan antara PN dan BN ini semua orang dah tahu. Mereka seolah-olah tidak ada persamaan kononnya tetapi dalam masa sama sebelum ini mereka berjumpa dan bekerjasama.

“Akhirnya Barisan Nasional (BN) memberikan 11 kerusi kepada Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding dan disokong oleh Barisan Nasional (BN).

“Begitu juga dengan Perikatan Nasional (PN) akan menyokong Barisan Nasional,” katanya.

Mengulas mengenai kempen yang sedang berlangsung, Aminuddin berkata rakyat semakin matang dalam menilai pendekatan politik dan tidak mahu terus disajikan dengan ‘persembahan’ yang hanya bersifat menyerang.

Aminuddin turut menyentuh mengenai hubungan politik antara BN dan PN yang menurutnya cuba digambarkan seolah-olah tidak mempunyai kerjasama sepanjang tempoh kempen PRN.

Katanya, rakyat lebih memerlukan penjelasan berasaskan fakta mengenai perancangan dan rekod pentadbiran sesebuah kerajaan.

“Saya nampak drama-drama yang dimainkan dan saya rasa cukup-cukuplah.

“Rakyat makin lama makin muak dengan persembahan-persembahan drama yang tidak berkesudahan.

“Rakyat menantikan apa yang ingin kita sampaikan kepada rakyat dengan betul dan tepat,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin menolak keyataan Dato’ Seri Zahid Hamidi bahawa manifesto BN bertujuan meneruskan agenda pembangunan yang dikatakan tergendala di bawah pentadbiran PH.

Sebaliknya meminta perkara tersebut dibuktikan dengan jelas.

“Kalau mereka mahu kata ada agenda-agenda yang tertinggal, apa agenda yang tertinggal? Buktikan.

“Hingga hari ini mereka tidak tunjukkan apa yang tertinggal,” katanya.

Aminuddin mempersoalkan sasaran manifesto pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun yang diumumkan oleh Barisan Nasional (BN) dengan membandingkan pencapaian sebenar Negeri Sembilan.

“Sedangkan pencapaian kita RM19.1 bilion tahun lepas dan tahun ini kita sudah capai RM13 bilion.

“Ini menunjukkan kelemahan mereka dalam menyediakan manifesto,” katanya.

Aminuddin berkata, rakyat Negeri Sembilan perlu membuat penilaian berdasarkan fakta serta pencapaian sebenar dan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang diputar belit sepanjang tempoh kempen.

“Saya berharap masyarakat di Negeri Sembilan harus terbuka, harus ingat fakta-fakta yang berlaku.

“Jangan kita hanya ambil disebabkan oleh rayuan atau fakta yang diputar belitkan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button