Berita

2,373 Anggota Polis Ditugaskan Kawal Penamaan Calon, Tiada Laporan Kekecohan – Alzafny

PORT DICKSON: Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal dengan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan insiden tidak diingini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Md Yusof berkata, pihaknya mengerahkan seramai 2,373 pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan serta kelancaran proses penamaan calon di semua pusat penamaan calon (PPC) seluruh negeri.

Beliau berkata, kawalan keselamatan meliputi kawasan dalam dan luar PPC termasuk menguruskan pergerakan penyokong serta kawalan lalu lintas.

“Keadaan di setiap pusat penamaan calon adalah tenang dan terkawal. Penyokong-penyokong juga mematuhi segala arahan dan nasihat daripada pihak polis.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima hasil daripada proses penamaan calon yang berlangsung hari ini” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, hari ini

Menurut beliau, jumlah penyokong di setiap PPC dianggarkan antara 1,000 hingga 2,500 orang dengan jumlah kehadiran tertinggi direkodkan di Jempol iaitu kira-kira 2,500 penyokong, manakala jumlah paling rendah di Kuala Pilah dengan sekitar 1,000 penyokong.

Dalam pada itu, Alzafny berkata pihak polis turut mengingatkan semua calon dan parti bertanding supaya menjalankan aktiviti kempen secara berhemah serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Alzafny berkata, semua pihak diingatkan supaya tidak menyentuh isu sensitif melibatkan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) selain mengelakkan kenyataan berunsur provokasi, hasutan atau fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian.

“Pihak polis mengharapkan semua parti dan calon dapat menyampaikan ceramah dengan menunjukkan kekuatan masing-masing tanpa mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya.

Tambahnya, pihak polis bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menubuhkan kumpulan pemantau bagi memastikan segala peraturan dan garis panduan sepanjang tempoh berkempen dipatuhi.

Mengulas mengenai kaedah berkempen termasuk penggunaan motosikal untuk mendekati masyarakat, Alzafny berkata semua calon dan parti bertanding perlu memastikan setiap aktiviti mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan terutamanya memakai topi keledar.

Alzafny berkata, pihak polis akan mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan sepanjang tempoh berkempen.

“Kalau melanggar peraturan, kita akan ambil tindakan berdasarkan penguatkuasaan polis ke atas semua peraturan dan undang-undang yang ada di Malaysia,” katanya.

Tempoh berkempen PRN Negeri Sembilan ke-16 bermula selepas pengisytiharan calon yang layak bertanding dan akan berlangsung sehingga 11.59 malam, 31 Julai 2026 sebelum hari pengundian pada 1 Ogos 2026.

Show More

Related Articles

Back to top button