Berita

Nazri anggap tentangan bekas ADUN Ampangan sebagai cabaran, yakin jentera PH lebih tersusun

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Dato’ Muhammad Nazri Kassim, menyifatkan persaingan menentang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan sebagai satu cabaran yang akan mendorong beliau bekerja dengan lebih kuat dan tersusun sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan.

Nazri yang merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan berkata, walaupun berdepan pencabar berpengalaman, beliau yakin jentera PH di DUN Ampangan kini berada dalam keadaan lebih tersusun dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Kita tahu bahawa pertandingan ini melibatkan bekas ADUN Ampangan iaitu Dato’ Dr. Mohamad Rafie Abd Malek.

“Bagaimanapun saya mengambilnya sebagai satu cabaran untuk bekerja dengan lebih kuat dan lebih tersusun.

“Setakat ini saya mempunyai keyakinan bahawa jentera yang dibentuk di Ampangan bagi Pakatan Harapan agak lebih tersusun dan teratur,” katanya.

Menurut beliau, fokus utama kempen adalah untuk meyakinkan pengundi bahawa beliau mempunyai kesungguhan, kemampuan dan kebolehan untuk menjadi wakil rakyat yang mampu membawa suara serta memperjuangkan kepentingan penduduk Ampangan.

“Kita akan bekerja untuk meyakinkan penduduk di Ampangan mengenai kesungguhan, kemampuan dan kebolehan kita untuk mewakili mereka di Ampangan,” katanya.

Dalam masa sama, Nazri turut merayu sokongan daripada para pengundi agar memberikan mandat kepadanya pada hari pengundian.

“Nama saya Muhammad Nazri Kassim. Tuan-tuan, puan-puan, abang-abang, kakak-kakak, pakcik-pakcik, makcik-makcik dan adik-adik, saya memohon restu dan dokongan daripada semua untuk mengundi saya pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti,” katanya.

Pada PRN-16 Negeri Sembilan ini Nazri akan berdepan saingan tiga penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Rafie, dan calon Bersatu, Azzah Harun.

Kerusi DUN Ampangan sebelum ini disandang oleh Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman daripada PH, yang tidak mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya kali ini.

Show More

Related Articles

Back to top button