Berita

Aminuddin Fokus Gerak Jentera, Dekati Rakyat Di Linggi

PORT DICKSON: Persiapan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kini memasuki fasa seterusnya apabila jentera parti telah digerakkan dan persiapan kempen telah disusun.

Menurutnya, program kempen juga telah diatur selain meminta semua calon memberi tumpuan kepada isu kempen serta usaha mendekati rakyat.

“Kita sedia maklum bahawa jentera telah kita gerakkan dan saya yakin persiapan kita telah diuruskan

“Program-program kempen juga telah kita susun dan saya berharap bukan saya sahaja tetapi rakan-rakan yang lain juga di setiap DUN bersedia untuk menumpukan perhatian serius tentang isu kempen dan berjumpa dengan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai fokus sekiranya diberi mandat di DUN Linggi, Aminuddin berkata beliau tidak mahu sekadar menawarkan janji, sebaliknya mahu meneruskan pelaksanaan perkara yang telah dirancang.

“Saya telah melaksanakan. Insya-Allah sebuah pelabuhan akan ada, kawasan pendidikan akan ada.

“Ini satu pembaharuan yang baharu dalam DUN Linggi sejak sekian lama. Saya bukan nak berjanji-janji, saya akan melaksanakan apa yang kita kena tumpukan kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin mengakui pertandingan di DUN Linggi memberi cabaran tersendiri selepas kawasan itu sebelum ini merupakan kubu Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Aminuddin berkata keputusan bertanding di kerusi berkenaan dibuat kerana bersedia menyahut cabaran baharu.

“Cabarannya, saya pastinya ini ialah kubu Barisan Nasional. Saya pasti banyak cabarannya. Saya tak kata itu mudah.

“Tetapi ini satu cabaran. Saya sendiri menawarkan diri saya. Saya cuba. Saya kena berani untuk berjuang,” katanya.

Terdahulu, seramai 103 calon disahkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 selepas proses penamaan calon selesai di lapan Pusat Penamaan Calon (PPC) seluruh negeri hari ini.

Berdasarkan pecahan pertandingan, sebanyak 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan saingan dua penjuru, manakala 21 kerusi DUN melibatkan pertandingan tiga penjuru. Selain itu, tiga kerusi menyaksikan saingan empat penjuru, sementara dua lagi kerusi melibatkan pertandingan lima penjuru.

Selepas pengisytiharan calon yang layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, tempoh berkempen bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 bermula dan akan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 31 Julai 2026 (Jumaat).

Hari pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai 2026 manakala hari pengundian pada 1 Ogos 2026 (Sabtu).

Show More

Related Articles

Back to top button