Berita

PRN NS16: Rekod Pentadbiran PH Jadi Sandaran Raih Kepercayaan Pengundi

JELEBU: Rekod pentadbiran Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sejak 2018 akan menjadi asas utama dalam usaha meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, sepanjang tempoh mentadbir negeri, PH telah membuktikan keupayaannya membawa kemajuan, pembangunan serta kestabilan kepada Negeri Sembilan, sekali gus menjadi kekuatan utama gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya kali ini.

Beliau berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Jelebu, apabila kesemua calon PH berjaya diterima untuk bertanding.

“Seperti yang dijangkakan, DUN Chennah menyaksikan pertandingan satu lawan satu, manakala tiga lagi kerusi iaitu Pertang, Sungai Lui dan Klawang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

“Proses pertama yang paling penting adalah pencalonan calon. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan semua calon Pakatan Harapan telah diterima pencalonannya.

“Seperti yang telah dijangkakan, di kawasan Chennah pertandingan satu lawan satu, manakala di Pertang, Sungai Lui dan Klawang pula pertandingan tiga penjuru,” katanya.

Menurutnya, PH akan memasuki fasa kempen dengan mengetengahkan pencapaian kerajaan negeri sepanjang lapan tahun mentadbir sebagai bukti komitmen terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Segala inisiatif serta pembangunan yang telah dilaksanakan di Negeri Sembilan membuktikan kemampuan PH mentadbir negeri secara stabil dan berkesan.

“Kita akan berkempen bersungguh-sungguh berdasarkan rekod prestasi dan segala kerja yang telah kita lakukan di kawasan ini. Kita berharap pengundi akan terus memberikan sokongan kepada semua calon Pakatan Harapan.

“Kerajaan yang ditubuhkan sejak 2018 telah membuktikan bahawa kita mampu membawa kemajuan dan kestabilan kepada Negeri Sembilan,” tambahnya.

Mengulas mengenai kepentingan Parlimen Jelebu, Loke berkata kawasan tersebut mempunyai nilai strategik kerana pernah menjadi antara penyumbang utama kepada kejayaan PH membentuk Kerajaan Negeri pada tahun 2018.

Sokongan pengundi di empat DUN dalam Parlimen Jelebu sekali menurutnya amat penting bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang stabil serta pelaksanaan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.

Sementara itu, menyentuh mengenai peluang mempertahankan kerusi DUN Chennah, Loke berkata setiap pilihan raya mempunyai cabaran tersendiri dan keputusan akhirnya bergantung kepada mandat yang diberikan rakyat.

Menurutnya, sejak mula bertanding di kerusi berkenaan pada 2013, Chennah bukanlah kawasan yang mudah dimenangi, namun sokongan pengundi terhadap beliau menunjukkan peningkatan daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

“Setiap pilihan raya sentiasa 50-50. Apabila saya bertanding di Chennah pada tahun 2013, ia merupakan pilihan raya yang berisiko tinggi. Ketika itu saya memperoleh kira-kira 55 peratus undi, manakala pada pilihan raya lalu meningkat kepada sekitar 60 peratus,” katanya.

Beliau turut berharap sokongan daripada semua lapisan masyarakat termasuk Melayu, Cina dan Orang Asli dapat diteruskan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri yang disifatkannya berjaya membawa pembangunan kepada Negeri Sembilan.

“Kita merupakan sebahagian daripada kerajaan sepanjang tempoh ini dan kita telah berusaha menjaga kebajikan rakyat serta membawa perkembangan yang baik kepada Negeri Sembilan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button