Berita

Umry fokus dekati pengundi Pertang, tekad teruskan pembangunan negeri

JELEBU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N02 Pertang, Mohd Umry Abdul Khois memberi tumpuan kepada usaha mendekati pengundi di kawasan berkenaan selepas selesai proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, gerak kerja seterusnya adalah turun padang bagi mendengar suara rakyat selain menjelaskan komitmen untuk meneruskan agenda pembangunan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri.

Menurutnya, proses penamaan calon yang berlangsung hari ini berjalan lancar selepas borang pencalonannya diterima.

“Alhamdulillah, sesi penamaan calon pada hari ini selesai dan borang pencalonan telah diterima. Selepas ini, kita akan turun ke lapangan untuk bekerja serta mendekati pengundi,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi PRN kali ini, Umry berkata jentera PH di kawasan N02 Pertang telah digerakkan lebih awal dan berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi tempoh kempen sehingga hari pengundian pada 1 Ogos depan.

“Setakat ini Alhamdulillah, dari segi sokongan padu daripada jentera, semuanya telah digerakkan sejak awal lagi. Insya-Allah kita akan terus bekerja sehingga 1 Ogos nanti,” katanya.

Umry yang membuat penampilan sulung sebagai calon pilihan raya mengakui terdapat sedikit perasaan gementar, namun menyifatkan perkara itu sebagai pengalaman baharu yang perlu dihadapi dengan penuh keyakinan.

“Perasaan itu mungkin ada kerana ini adalah kali pertama saya bertanding. Tetapi apa yang penting, misi kita adalah untuk menang di N02 Pertang.

“Insya-Allah, kita ada strategi tersendiri untuk mendekati dan menawan hati pengundi menjelang hari pengundian nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmennya untuk memastikan kesinambungan pembangunan di Negeri Sembilan dapat diteruskan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

Katanya, pentadbiran kerajaan negeri sejak 2018 telah membawa pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat dan usaha tersebut perlu diteruskan.

“Kita tahu sejak 2018, Kerajaan Pakatan Harapan telah memimpin Negeri Sembilan. Insya-Allah, sekiranya diberi mandat pada kali ini, kita akan teruskan inisiatif yang telah disediakan kerajaan negeri kepada rakyat, khususnya penghuni di N02 Pertang,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button