Nor Azman tekad teruskan legasi Aminuddin, yakin rekod pentadbiran jadi sandaran
SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Azman Mohamad, menegaskan beliau tidak memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan, meskipun kerusi itu telah disandang selama empat penggal oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Nor Azman berkata, rekod pentadbiran dan khidmat yang ditunjukkan sepanjang DUN Sikamat berada di bawah kepimpinan Aminuddin diyakini menjadi asas penting kepada penilaian pengundi.
“Saya tidak memandang mudah cabaran di Sikamat, walaupun sudah empat penggal Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.
“Namun, berdasarkan rekod pentadbiran dan khidmat yang telah kita tunjukkan sepanjang diberi amanah di DUN Sikamat, saya yakin dan insya-Allah itu menjadi asas kepada penilaian masyarakat di DUN Sikamat,” jelas beliau.
Beliau berkata, antara pencapaian yang menjadi fokus ialah usaha meningkatkan keselesaan penduduk melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas yang diperlukan masyarakat.
“Kita telah memastikan keselesaan penduduk DUN Sikamat dari segi infrastruktur dan kemudahan yang perlu diberi perhatian.
“Hampir semua perkara yang diperlukan oleh masyarakat dan rakyat di DUN Sikamat ini telah kita berikan perhatian,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan kawasan perumahan di DUN Sikamat telah berusia lebih 20 tahun dengan majoriti penduduk terdiri daripada warga emas, justeru kebajikan golongan itu terus diberikan keutamaan.
“Perhatian yang lebih juga telah diberikan kepada warga emas di DUN Sikamat menerusi inisiatif Sumbangan Ceria Warga Emas yang disediakan oleh Kerajaan Negeri,” ujar Nor Azman.
Nor Azman berkata, selain kebajikan warga emas, keperluan golongan belia turut menjadi antara agenda utama melalui pelbagai inisiatif yang menyentuh aspek pendidikan, pembinaan keluarga dan gaya hidup sihat.
“Tumpuan juga diberikan kepada anak-anak muda dari segi keperluan kehidupan mereka, termasuk bantuan pendidikan, bantuan perkahwinan serta kemudahan rekreasi dan riadah,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan turut menyeru pengundi memberikan mandat kepada PH bagi memastikan kesinambungan pembangunan di Sikamat.
“Kepada semua pengundi DUN Sikamat, jangan lupa mengundi calon Pakatan Harapan nombor tiga, Nor Azman Mohamad.
“Meneruskan legasi kecemerlangan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dan menyumbang kerusi untuk pembentukan Kerajaan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti, Insya-Allah,” kata Nor Azman.
Untuk rekod, Aminuddin telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat selama empat penggal berturut-turut sejak tahun 2008, 2013, 2018 dan 2023 sebelum memberi laluan kepada Nor Azman untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRN-16.



