Berita

SEKPUR buat laporan polis, mohon siasatan dakwaan hantaran hina institusi Raja

SEREMBAN: Setiausaha Agung Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR), Mejar (B) Razali Zakaria, tampil membuat laporan polis berhubung satu hantaran di platform media sosial Threads yang didakwa mengandungi kenyataan menghina Institusi Raja Melayu.

Menurut beliau, dalam laporan polis yang dibuat, beliau mendakwa telah menemui hantaran daripada akaun “AizleyShahar @aizley” pada 18 Julai 2026 kira-kira jam 9 malam yang memaparkan tangkapan skrin berkaitan institusi Raja.

Razali mendakwa hantaran berkenaan turut disertakan kenyataan yang bersifat provokatif sehingga menghina dan memperlekehkan institusi Raja Melayu.

“Pada 18/7/2026 jam lebih kurang 9.00 malam saya mendapati satu hantaran di media sosial bernama Threads AizleyShahar @aizley memaparkan tangkapan skrin (screenshot) yang memuat naik imej berkaitan institusi Raja.

“Terdapat kenyataan provakatif yang menyertai imej tersebut yang secara jelas menghina dan memperlekehkan institusi DiRaja Melayu,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Beliau turut menyatakan pandangannya bahawa kandungan berkenaan berpotensi memberi kesan kepada keharmonian masyarakat kerana menyentuh isu sensitif.

“Saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut adalah satu bentuk penghinaan terbuka yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan ancaman kepada keharmonian serta ketenteraman awam.

“Sebagai seorang rakyat yang prihatin dan bekas anggota keselamatan, saya memandang serius tindakan ini kerana ia menyentuh sensitiviti 3R (Raja, Agama, Kaum),” kata Razali.

Sehubungan itu, Razali memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan berkenaan.

“Saya dengan ini memohon pihak polis untuk menjalankan siasatan segera di bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Mengenal pasti individu atau pengendali akaun yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan penghinaan tersebut.

“Mengambil tindakan undang-undang yang tegas bagi membendung penyebaran bahan tersebut daripada terus berleluasa,” kata Razali lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button