Warga Emas Sikamat Titip Doa Buat Aminuddin Ke Linggi, Akui Aminuddin Prihatin Kebajikan Rakyat

SIKAMAT: Perpindahan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat ke DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 meninggalkan rasa sebak dalam kalangan penduduk kampung yang pernah menerima khidmat beliau sebagai wakil rakyat.
Menurut penduduk kampung sekitar Rumah Rakyat Sikamat 2, Seremban, Negeri Sembilan, Haji Baharuddin Ismail, 72, sepanjang Aminuddin menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, beliau menyifatkan pemimpin itu sering turun padang serta mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat khususnya golongan warga emas.
Menurut Baharuddin, beliau sendiri pernah menerima bantuan peruntukan warga emas daripada Kerajaan Negeri Sembilan sebanyak dua kali yang disifatkannya sebagai antara usaha membantu golongan seperti dirinya.
“Selama Tok Min jaga Sikamat ini memang rasa selamat. Banyak perubahan dibuat termasuk kemudahan kampung dan Tokmin selalu datang menziarahi penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu menerima kunjungan calon baru bagi DUN Sikamat, Nor Azman Mohammad.
Baharuddin berkata, beliau turut berasa sedih dengan keputusan Aminuddin meninggalkan DUN Sikamat selepas sekian lama berkhidmat di kawasan berkenaan.
“Sudah tentu ada rasa sedih sebab Tok Min dah lama jaga kawasan ini. Kepada penduduk Linggi, saya harap mereka beri sokongan kepada Tok Min. Dia seorang pemimpin yang banyak membantu rakyat di kawasan ini” katanya.
Isterinya, Hajah Norani Udin, 70, turut berkongsi pengalaman menerima kunjungan Aminuddin dalam pelbagai program kemasyarakatan termasuk sambutan Aidiladha.
“Ada masanya Tok Min sendiri datang menyampaikan daging korban. Tokmin sememangnya mesra dengan masyarakat dan tidak pernah melupakan penduduk di sini,” katanya.
Pasangan itu turut menyatakan keyakinan terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Sikamat, Ustaz Nor Azman Mohamad yang menurut mereka bukanlah wajah asing kerana sebelum ini sering mewakili Aminuddin menghadiri program bersama penduduk.
“Kami sudah lama kenal Ustaz Nor Azman. Sebelum ini kalau Tok Min tidak dapat hadir, Ustaz Nor azman yang datang mewakili. Harapan kami supaya beliau meneruskan cara Tok Min menjaga rakyat di Sikamat,” kata Baharuddin.
Norani pula berharap Nor Azman dapat meneruskan pendekatan turun padang serta menjaga kebajikan penduduk seperti yang dilakukan Aminuddin sebelum ini.
“Insya-Allah kami harap beliau dapat terus menjaga rakyat seperti mana Tok Min lakukan selama ini,” katanya.
Terdahulu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan telah mewakili DUN Sikamat selama empat penggal sebelum menyahut cabaran baharu dengan bertanding di DUN Linggi pada PRN Negeri Sembilan ke-16.
Kerusi DUN Sikamat pula kini dipertaruhkan kepada orang kepercayaanya daripada calon Pakatan Harapan, Ustaz Nor Azman Mohamad yang sebelum ini sering mewakili Aminuddin menghadiri pelbagai program bersama masyarakat setempat.
Negeri Sembilan kini menanti detik penentuan pada hari pengundian PRN ke-16 yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos 2026 apabila rakyat negeri bakal menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.



