Aminuddin Tembusi Linggi Dengan Strategi Dekati Semua Kaum, Turun Padang Sejak Subuh
PORT DICKSON: Walaupun DUN Linggi dihuni masyarakat berbilang kaum, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun menyifatkan tanggungjawab seorang wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Menurut Aminuddin, sepanjang tempoh berkempen beliau akan terus memberi tumpuan untuk bertemu seramai mungkin masyarakat termasuk komuniti Melayu, Cina dan India bagi mendengar sendiri suara serta keperluan mereka.
“Bukannya satu kaum sahaja tetapi semua kaum. Saya akan teruskan berjumpa masyarakat seramai mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beramah mesra bersama masyarakat India di Kuil Pasir Panjang.
Aminuddin berkata, pendekatan mendekati rakyat secara bersemuka menjadi strategi utama sepanjang tempoh kempen selain memberi ruang kepada masyarakat menyampaikan pandangan dan harapan mereka.
Gerak kerja kempen Aminuddin hari ini dimulakan seawal waktu Subuh apabila beliau menunaikan solat berjemaah di Masjid Jamek Pasir Panjang sebelum meluangkan masa bersama jemaah dan penduduk setempat di sebuah warung.
Selepas itu, beliau meneruskan kunjungan dengan menziarahi seorang warga emas yang terlantar serta menitipkan doa buat keluarga yang menjaga insan tersayang dalam keadaan uzur.
Menurut Aminuddin, menjaga ibu bapa yang sakit dan uzur bukan satu perkara mudah malah memerlukan kesabaran serta kekuatan yang tinggi daripada ahli keluarga.
“Saya doakan supaya keluarganya diberikan kekuatan. Nak jaga mak ayah bukannya mudah dalam keadaan mereka cukup uzur itu bukan satu perkara yang mudah.
“Saya katakan kepada mereka, inilah peluang untuk mendapatkan pahala sebaik-baik pahala. Jagalah sehingga ke akhir hayatnya,” katanya.
Aminuddin kemudian meneruskan pendekatan turun padang dengan menziarahi peniaga di pasar, gerai serta kedai-kedai sekitar Pasir Panjang sebelum melawat rumah rakyat dan kawasan perumahan berhampiran.
Aminuddin turut menghadiri program bersama masyarakat India di kawasan Pasir Panjang selepas menerima jemputan ke sebuah majlis kenduri yang dianjurkan komuniti setempat.
Dalam program berkenaan, Aminuddin turut dilihat beramah mesra bersama masyarakat apabila bersama-sama menyantuni tetamu termasuk menuangkan hidangan makanan di atas daun pisang yang merupakan satu tradisi yang sinonim dalam majlis komuniti India.
Mengulas mengenai sambutan masyarakat terhadap kehadirannya, Aminuddin berkata beliau menghargai penerimaan penduduk namun menyerahkan keputusan sokongan kepada kebijaksanaan rakyat.
“Alhamdulillah, mungkin mereka sambut saya sebagai Ahli Parlimen dan sebagai Menteri Besar, itu berbeza sedikit.
Nampak baik, tetapi saya tidak tahu undi itu diterjemahkan atau tidak.
“Tetapi saya yakin mereka akan memberikan satu sokongan yang baik buat ketika ini,” katanya.
Aminuddin berkata, beliau menyedari cabaran bertanding di DUN Linggi yang sebelum ini merupakan kawasan kuat Barisan Nasional (BN) namun perkara itu tidak menghalangnya untuk terus mendekati rakyat.
Menurutnya, pendekatan turun padang secara dekat bukan perkara baharu kerana kaedah itu telah diamalkannya sejak mula bertanding pada 2008.
“Sejak 2008 saya berkempen macam inilah. Kalau saya boleh duduk seorang, dua orang pun cukup bagi saya. Yang penting saya jumpa orang,” katanya.
Aminuddin berkata, pendekatan berkenaan membolehkan beliau berinteraksi secara lebih dekat dengan masyarakat tanpa mengira latar belakang selain memahami isu yang dihadapi rakyat secara terus.
Katanya, Aminuddin lebih selesa bergerak dalam kumpulan kecil berbanding program berskala besar kerana mahu memberi peluang kepada rakyat bertemu dengannya secara lebih dekat.
“Bagi saya, saya nak mudahkan saya bertemu masyarakat. Saya nak jumpa masyarakat, saya tak naklah ramai-ramai.
“Yang penting saya jumpa orang. Itu cara saya, sejak 2008 saya berkempen macam ini,” katanya.
PRN Negeri Sembilan ke-16 kini memasuki tempoh kempen selama 14 hari bermula selepas penamaan calon sehingga tengah malam 31 Julai 2026 sebelum rakyat negeri itu menunaikan tanggungjawab mengundi pada 1 Ogos 2026.
DUN Linggi menjadi antara kerusi yang menjadi tumpuan apabila Aminuddin menyahut cabaran baharu bertanding di kawasan yang sebelum ini merupakan kubu Barisan Nasional (BN).



