Anwar Mahu Kempen PRN Berteraskan Isu Negeri, Bukan Serangan Sesama Kerajaan
SEREMBAN: Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan pembangunan dan kebajikan rakyat di peringkat negeri, bukannya dijadikan medan untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berkata, calon yang bertanding khususnya mereka yang memegang jawatan sebagai menteri, timbalan menteri atau pemegang jawatan dalam agensi kerajaan perlu mengekalkan disiplin sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan hubungan kerjasama di peringkat Persekutuan terus kukuh.
“Pemegang jawatan di bawah Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam kerajaan ketika berkempen kerana perkara itu boleh menjejaskan keharmonian pentadbiran.
“Kalau dia pegang jawatan daripada Persekutuan, dia tak boleh serang, menjadikan ini sebagai satu medan politik menyanggah kerana dia kena jaga disiplin.
“Kalau dia pilih untuk buat begitu, dia harus undur daripada jawatan dia. Kita kena jaga supaya jangan langgar kerana kalau ada pelanggaran, saya akan minta mereka undur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Madani Kita di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, di Ipoh, Perak, hari ini.
Menurutnya, ketetapan itu diputuskan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.
“Semua calon bebas mengemukakan pandangan serta menawarkan agenda pembangunan negeri kepada rakyat, namun persaingan politik tidak seharusnya menjejaskan kerjasama dalam Kerajaan Persekutuan.
“Kita ingatkan calon-calon, terutama yang pegang jawatan menteri, timbalan menteri atau pemegang mana-mana agensi, dia boleh bertarung dalam isu-isu negeri.
“Setakat ini, kita minta mereka kawal supaya hubungan kita di Persekutuan kekal baik, supaya kerja boleh dijalankan.
“Biarlah kita kawal kalau ada pertarungan di peringkat negeri,” tambahnya.



