Berita

AMK Gesa UMNO Perjelas Pendirian Politik Susulan Kerjasama Bersama PN

SEREMBAN: Pendirian sesebuah parti politik perlu selari dengan tindakan yang diambil, terutama apabila melibatkan kedudukan dalam kerajaan serta kerjasama politik yang dijalinkan menjelang pilihan raya.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin menggesa UMNO memperjelas hala tuju politiknya sekiranya memilih untuk menjalinkan kerjasama secara terbuka bersama Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

“UMNO tidak seharusnya terus berada dalam pentadbiran Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan dan negeri sekiranya pada masa sama menyerang kerajaan yang turut dianggotainya.

“Jangan menyerang kerajaan pada siang hari, tetapi masih mahu menikmati jawatan dan kuasa pada waktu malam.

“Kalau benar UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Pas sudah cukup kuat serta mempunyai angka, keluarlah daripada Kerajaan Madani dengan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, perkembangan hubungan politik antara UMNO dan Pas di beberapa negeri menunjukkan keperluan untuk parti berkenaan membuat pendirian yang jelas kepada rakyat.

“Sekiranya UMNO memilih Pas sebagai rakan politik, parti itu tidak seharusnya terus berada di bawah pentadbiran Kerajaan Madani di Putrajaya serta Kerajaan Negeri Selangor.

“Pilih satu, jangan siang berkempen bersama Pas untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH), tetapi pada waktu malam masih menikmati jawatan hasil kerjasama dengan PH.

“Itu bukan prinsip. Itu hipokrasi politik,” tambahnya.

Danish berkata, kestabilan kerajaan perlu dipelihara melalui komitmen semua parti yang membentuk pentadbiran bersama, selain memastikan perbezaan politik tidak menjejaskan keupayaan kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim supaya menggugurkan semua menteri dan timbalan menteri daripada mana-mana parti yang bertanding menentang PH.

Cabaran itu dibuat selepas Angkatan Muda Harapan (AMH) dilaporkan menggesa semua menteri dan timbalan menteri daripada BN meletakkan jawatan dalam Kabinet susulan gabungan parti itu secara terbuka menjalinkan kerjasama dengan PN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Dalam kenyataannya, AMH mendakwa tindakan BN berkenaan menunjukkan parti itu tidak lagi menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas perkara itu, Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, sekiranya AMH mahu berpegang kepada prinsip, desakan tersebut perlu dikenakan kepada semua parti yang berada dalam keadaan sama dan bukan hanya tertumpu kepada BN atau UMNO.

Beliau berkata, tindakan memilih sasaran tertentu boleh menimbulkan persepsi wujud layanan berbeza terhadap parti-parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, prinsip sama juga perlu digunakan terhadap Parti Warisan (WARISAN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekiranya kedua-dua parti berkenaan bertanding menentang PH dalam pilihan raya negeri.

Pada masa sama, Muhamad Akmal menegaskan pendirian Pemuda UMNO yang mahu parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan masih kekal sehingga kini.

“Sebagaimana pendirian Pemuda UMNO sebelum ini yang mahu parti terbesar Melayu itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan, begitulah juga pendirian kami kekal hingga kini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button