Berita

‘Kami datang bawa anak-anak, mahu pantai yang selamat’– Pengunjung sokong larangan arak

PORT DICKSON: Baru-baru ini tular sebuah video melibatkan empat individu yang dipercayai penyokong sebuah parti politik yang mendakwa kononnya larangan minum arak di Pantai Awam Port Dickson menyebabkan jumlah pengunjung ke pantai tersebut merosot.

Justeru itu, Negeri Kita turun padang dan menemuramah pengunjung di Pantai Port Dickson bagi mendapatkan reaksi mereka.

Elysa Anuar, 29, dari Ampang, Kuala Lumpur berkata, beliau sebenarnya sudah lama tak datang ke Pantai Port Dickson.

Kali terakhir Elysa datang berkelah di Pantai Port Dickson semasa masih belajar di Kolej Matrikulasi sekitar tahun 2016 atau 2017.

“Hari ini saya datang balik ke Pantai Port Dickson. Sekarang ini kita dapat tengok pantai ini selesa.

“Saya dengan keluarga, anak-anak pun selesa datang berkelah. Rasa tenang dan damai.

“Pada pandangan saya peraturan Larangan Minum Arak di Pantai Port Dickson adalah satu inisiatif yang sangat baik sebabnya Pantai Port Dickson ini pun rata-rata pengunjung membawa anak-anak untuk berkelah.

“Sebagai pengunjung kita semestinya mahukan suasana yang selamat dan santai semasa berkelah,” jelas Elysa.

Elysa Anuar

Menurut Elysa lagi, beliau berpendapat ini satu inisitif yang bagus daripada Kerajaan Negeri Sembilan yang melarang minum arak di Pantai Port Dickson.

“Peraturan ini wajar diteruskan sebab bagi saya, kita nak berkelah pun suasana kena selamat,” katanya.

Sementara itu, Wan Asif, 35, dari Rawang, Selangor berkata, beliau tidak mahu ada kes mabuk (kacau ganggu) di Pantai Port Dickson.

“Pandangan saya, kita duduk pantai ini nak riadah bersama keluarga.

“Semestinya kita tidak mahu ada gangguan seperti bising atau gaduh akibat pengaruh alkohol.

“Kalau boleh perkara yang tidak baik ini perlu dielakkan.

“Larangan minum arak di Pantai Port Dickson adalah satu tindakan wajar,” kata Asif.

Wan Asif bersama isteri beliau

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button