PH Negeri Sembilan Dakwa Berlaku Perbuatan Khianat Terhadap Bahan Kempen PRN
SEREMBAN: Beberapa insiden yang didakwa melibatkan perbuatan khianat terhadap bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 telah dilaporkan berlaku di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu N.06 Palong dan N.31 Chembong.
Sekretariat Pusat Media Pilihan Raya Negeri Sembilan Ke-16 Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut melibatkan dakwaan pembakaran bendera parti di DUN Palong pada malam tadi serta kerosakan pancang bendera di DUN Chembong pada pagi ini.
“Kami memandang serius kejadian berkenaan dan menyatakan tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, termasuk di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Dalam masa sama, semua pihak diseru agar tidak menjadikan perbuatan sedemikian sebagai budaya dalam persaingan politik, selain menggesa anggota dan jentera parti supaya tidak bertindak balas terhadap insiden yang berlaku,” katanya hari ini.
PH turut mengingatkan semua calon dan jentera parti supaya menjalankan kempen secara berhemah dan mematuhi undang-undang, selaras dengan hak berpolitik dan berkempen yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Pengarah Pilihan Raya Bilik Gerakan DUN yang terlibat juga telah dinasihatkan supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Pihaknya turut menegaskan bahawa setakat ini tiada sebarang tuduhan ditujukan kepada mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut.



