YB Kita

Cadangan Laluan Rel Senawang–Port Dickson Berpotensi Pacu Pembangunan Ekonomi Negeri

 

Cadangan Laluan Rel Senawang–Port Dickson Berpotensi Pacu Pembangunan Ekonomi Negeri

SEREMBAN: Usaha memperkukuh jaringan pengangkutan awam dan logistik di Negeri Sembilan terus diberi perhatian menerusi cadangan pembinaan laluan kereta api yang menghubungkan Senawang dengan Port Dickson, yang dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan pembangunan laluan rel baharu itu bukan sekadar menambah baik sistem pengangkutan, malah berupaya merangsang pembangunan kawasan perindustrian, memperkukuh sektor logistik dan menarik lebih banyak pelaburan ke Negeri Sembilan.

Beliau berkata, rangkaian rel berkembar utama yang tersedia ketika ini telah memberi manfaat kepada negeri, namun hubungan terus ke kawasan selatan masih perlu dipertingkatkan bagi memastikan sistem pengangkutan lebih efisien.

“Apabila laluan ini dapat direalisasikan, ia akan mewujudkan hubungan rel yang lebih langsung ke selatan negeri tanpa bergantung kepada laluan sedia ada yang lebih panjang.

“Keadaan ini akan memberi impak positif kepada aktiviti perindustrian, logistik serta pembangunan ekonomi secara keseluruhannya,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan (PH), di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun.

Anthony berkata, kewujudan laluan tersebut dijangka meningkatkan kecekapan pergerakan barangan dan mengurangkan kos logistik, sekali gus menjadikan Negeri Sembilan lebih menarik sebagai destinasi pelaburan.

Menurut beliau, pembangunan infrastruktur strategik termasuk jaringan rel dan kemudahan pelabuhan akan memperkukuh daya saing negeri dalam menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan perdagangan di Pantai Barat.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti itu mampu mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat selain mempercepatkan pembangunan kawasan selatan Negeri Sembilan secara lebih menyeluruh.

Show More

Related Articles

Back to top button