Manifesto Dilancar Awal Bagi Mudahkan Calon Jelaskan Agenda Pembangunan Kepada Rakyat

SEREMBAN: Pelancaran awal Manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan membolehkan setiap calon mempunyai tempoh yang mencukupi untuk menerangkan hala tuju pembangunan serta komitmen kerajaan kepada rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, manifesto itu sengaja dilancarkan lebih awal bagi memberi ruang kepada calon-calon mendekati pengundi dengan menjelaskan setiap inisiatif yang dirancang demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.
“Hari ini kita buktikan bahawa manifesto telah disiapkan lebih awal kerana kita mahu calon-calon mempunyai masa untuk menyampaikan kandungannya kepada rakyat.
“Inilah komitmen dan janji yang kita bawa untuk masa depan Negeri Sembilan,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Menurutnya, pengalaman mentadbir negeri menjadi asas kepada penyediaan manifesto yang realistik serta mampu dilaksanakan, sekali gus membolehkan rakyat menilai tawaran berdasarkan rekod pencapaian dan perancangan masa depan.
Mengulas mengenai ketiadaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim pada majlis berkenaan, Aminuddin berkata, perkara itu tidak menjejaskan gerak kerja kempen kerana kepimpinan PH Negeri Sembilan mempunyai keupayaan untuk mengurus dan menggerakkan jentera pilihan raya secara tersusun.
“Keyakinan yang diberikan oleh kepimpinan pusat membuktikan kepercayaan terhadap barisan kepimpinan negeri dalam meneruskan agenda kempen dan menyampaikan manifesto kepada rakyat.
“Atas keyakinan beliau terhadap pimpinan Negeri Sembilan, kita terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Kehadiran beliau sudah tentu akan menambah semangat, namun tanpa beliau sekalipun kita tetap menjalankan gerak kerja seperti yang dirancang,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri dijadualkan hadir ke Negeri Sembilan pada Rabu ini bagi menghadiri beberapa program bersama rakyat serta siri ceramah di Sikamat dan Paroi.
Menurutnya jadual kempen Perdana Menteri disusun mengikut kesesuaian memandangkan beliau turut memikul tanggungjawab sebagai Ketua Kerajaan Persekutuan.
“Fokus utama sepanjang tempoh kempen adalah memastikan setiap pengundi memahami kandungan manifesto yang menawarkan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh ekonomi negeri, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta meneruskan pembangunan mampan di Negeri Sembilan,” ujarnya.



