Berita

Manifesto Jadi Panduan Kempen, Aminuddin Seru Calon PH Fokus Tawar Penyelesaian Kepada Rakyat

SEREMBAN: Manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan akan menjadi panduan utama kepada semua calon sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan jelas mengenai hala tuju pembangunan negeri yang ditawarkan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, setiap calon perlu memahami kandungan manifesto secara menyeluruh agar segala komitmen dan perancangan yang digariskan dapat disampaikan dengan berkesan kepada pengundi.

“Rakyat hari ini lebih menilai keupayaan sesebuah kerajaan berdasarkan perancangan yang praktikal dan rekod pelaksanaannya, bukannya polemik politik yang tidak membawa manfaat.

“Saya mahu semua calon benar-benar memahami manifesto dan menjadikannya asas dalam setiap kempen yang dijalankan.

“Pengundi ingin mengetahui apakah perancangan yang akan dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan mereka, bukannya disajikan dengan tuduhan atau serangan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Menurutnya, pengalaman mentadbir Negeri Sembilan sejak lapan tahun lalu memberikan keyakinan kepada kerajaan untuk membentangkan manifesto yang bersifat realistik, berasaskan keupayaan kewangan negeri serta mampu dilaksanakan.

“Pelbagai inisiatif yang dijanjikan sebelum ini telah berjaya direalisasikan, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menunaikan setiap agenda pembangunan yang dirancang.

“Rekod pencapaian inilah yang menjadi asas keyakinan kita untuk menawarkan manifesto baharu yang memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Pendekatan yang menekankan fakta, prestasi pentadbiran dan perancangan masa depan lebih penting dalam membantu rakyat membuat pilihan yang tepat pada PRN nanti.

Kerajaan Negeri akan terus membawa pendekatan politik yang matang dengan memberi keutamaan kepada agenda pembangunan, kebajikan rakyat dan kemajuan Negeri Sembilan sebagai fokus utama pentadbiran.

Show More

Related Articles

Back to top button