M40 KINI TERSENYUM! Pendapatan isi rumah RM8,000 kini layak terima bantuan
Kadar bantuan sedia ada juga akan dinaikkan

SEREMBAN: Golongan M40 di Negeri Sembilan yang selama ini sering merasakan mereka terlepas daripada pelbagai bantuan kerajaan, kini berpeluang menarik nafas lega.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun hari ini mengumumkan Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang menjanjikan perluasan pelbagai bantuan dan insentif bukan sahaja kepada golongan B40, malah turut melibatkan M40.
Janji itu bagaimanapun bergantung kepada kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos depan.
Perubahan paling besar ialah had kelayakan pendapatan isi rumah yang dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM8,000.
Ini bermakna lebih ramai rakyat, termasuk keluarga M40, berpeluang menikmati bantuan yang sebelum ini hanya dinikmati oleh golongan B40.
Antara pengumuman yang dijangka mendapat perhatian ialah insentif kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT).
Sekiranya pendapatan isi rumah ibu bapa tidak melebihi RM8,000 sebulan, anak yang menyambung pengajian layak menerima insentif mengikut peringkat pengajian, iaitu:
Sijil: RM500
Diploma: RM750
Diploma STEM: RM1,000
Ijazah Sarjana Muda: RM1,200
Ijazah Sarjana Muda STEM: RM1,500
Selain itu, mahasiswa turut dijanjikan Bantuan Sara Hidup Mahasiswa sebanyak RM2,400 setahun (RM200 x 12 bulan).
Lebih menarik, manifesto itu turut menawarkan Sumbangan Komputer Riba mengikut spesifikasi kursus pengajian di IPT.
Dalam masa sama, beberapa kadar bantuan sedia ada juga akan dinaikkan.
Sebagai contoh, insentif one-off kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda yang sebelum ini berjumlah RM1,000 akan dinaikkan kepada RM1,200.
Bantuan Warga Emas berusia 70 tahun ke atas pula akan meningkat daripada RM200 kepada RM300 setahun.
Malah, jika sebelum ini hanya warga emas berusia 70 tahun ke atas layak menerima bantuan tersebut, manifesto itu turut memperluaskan kelayakan kepada mereka yang berumur antara 65 hingga 69 tahun dengan bantuan sebanyak RM200 setahun.
Aminuddin berkata, masih banyak lagi bantuan dan insentif yang ditawarkan menerusi Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas PRN-16 pada 1 Ogos nanti, golongan B40 dan M40 di Negeri Sembilan dijangka menjadi antara penerima manfaat terbesar menerusi pelbagai inisiatif yang diumumkan.




