Berita

PH Lancar Manifesto PRN Negeri Sembilan, Gariskan 10 Komitmen Utama Untuk Rakyat

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dengan menggariskan 10 komitmen utama yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan ekonomi, pendidikan, perumahan serta infrastruktur strategik negeri.

Antara fokus utama manifesto berkenaan ialah pengukuhan Skim Sejahtera Rakyat (SSR) melalui penambahbaikan kadar bantuan tunai secara one-off yang melibatkan setiap fasa kehidupan rakyat bermula daripada kelahiran sehingga usia emas.

Dalam sektor pendidikan, PH menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM200 untuk bayi baharu lahir, bantuan kepada pelajar sekolah berasrama penuh, bantuan anak sekolah, biasiswa anak Negeri Sembilan, bantuan pelajar Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda serta bantuan sara hidup mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebanyak RM2,400 setahun.

Manifesto itu turut memberi perhatian kepada aspek kesihatan menerusi bantuan pesakit kanser sebanyak RM1,000, bantuan pembelian peralatan ortopedik yang ditanggung sepenuhnya serta bantuan dialisis bagi pembedahan tapak fistula.

Dari sektor ekonomi, PH menawarkan komitmen mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi menerusi pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) dengan sasaran menarik lebih banyak pelaburan, membangunkan industri berteknologi tinggi serta menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Negeri Sembilan.

Bagi sektor perumahan pula, PH bertekad membina 20,000 unit rumah mampu milik selain meneruskan penyelesaian isu tanah rakyat dan inisiatif Rumah Harapan bagi memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman yang selesa dan selamat.

Manifesto berkenaan turut memberi keutamaan kepada golongan belia, wanita dan keluarga menerusi pelaksanaan Program Kepimpinan Belia (Upaya@9), peluasan program pemerkasaan wanita WADANI serta penubuhan Tabung Usahawan Belia (TUB) bagi memperkukuhkan ekonomi golongan muda.

Selain itu, PH turut memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan dan warisan adat menerusi Pelan Pelancongan Negeri Sembilan 2030, pengukuhan Dana Kebudayaan dan Warisan Negeri melalui inisiatif Tourism, Arts and Culture @ Negeri Sembilan (TAC@N9), penganjuran Perpatih Fest serta penyelarasan elaun ketua-ketua adat.

Dalam aspek pembangunan seimbang, manifesto PH turut memberi perhatian kepada kemajuan bandar, luar bandar dan kawasan FELDA melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Bagi infrastruktur strategik, PH menyenaraikan beberapa projek utama termasuk merealisasikan Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, Landasan Bypass Senawang–Port Klang dan Seremban Sentral selain menambah kekerapan perkhidmatan komuter dua hala antara Seremban dan Kuala Lumpur serta pembangunan Hospital Bandar Enstek bagi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, manifesto kali ini ditambah baik dengan memberi penekanan kepada hasil yang boleh dinikmati rakyat, bukan sekadar menyenaraikan perkara yang ingin dilaksanakan.

“Pengalaman saya mentadbir negeri selama lapan tahun menjadi asas kepada penyediaan manifesto tersebut dengan mengambil kira keperluan semasa dan masa depan Negeri Sembilan.

“Kita mahu memastikan apa yang kita gariskan ini benar-benar menjadi asas yang boleh kita letakkan kepada rakyat Negeri Sembilan. Rakyat dapat menikmati apa yang telah kita lakukan selama lapan tahun sebelum ini dan merasakan pembangunan yang lebih terancang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran manifesto PH Negeri Sembilan yang berlangsung di Klana Resort Seremban disini.

“Apabila kita mempunyai hasil yang baik, kita mampu mengembalikan semula kepada rakyat.

“Rakyat mahu rasa apa yang boleh mereka terima daripada pembangunan yang telah dilakukan,” katanya.

Aminuddin berkata pendidikan akan terus menjadi agenda penting kerana ia merupakan pelaburan untuk masa depan generasi muda selain memastikan peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan agar anak Negeri Sembilan tidak perlu berhijrah jauh mencari rezeki.

Mengulas pendekatan kempen PRN kali ini, Aminuddin berkata calon-calon PH akan diberi penekanan untuk memahami serta menerangkan manifesto kepada rakyat berbanding terlibat dalam retorik politik.

“Saya akan pastikan mereka baca, faham dan sampaikan kepada rakyat apa yang ingin kita lakukan.

“Rakyat mahukan sebuah manifesto yang boleh dilaksanakan, bukannya kita bergaduh atau menyampaikan perkara yang tidak perlu,” katanya.

Aminuddin berkata keyakinan PH terhadap manifesto itu bersandarkan rekod pentadbiran kerajaan negeri sepanjang lapan tahun yang menurutnya berjaya melaksanakan sebahagian besar perkara yang dijanjikan kepada rakyat.

“Bagi saya yang paling penting manifesto ini mampu dilaksanakan. Bukan hanya janji tetapi pelaksanaan adalah utamanya. Kami telah buktikan lapan tahun kami melaksanakan manifesto,” katanya.

Bagaimanapun, Aminuddin mengakui terdapat satu komitmen manifesto terdahulu yang tidak dapat dilaksanakan iaitu cadangan mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal.

Menurut beliau, perkara itu tidak dapat diteruskan selepas UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri ketika itu, sekali gus menyebabkan pindaan undang-undang berkaitan tidak dapat diluluskan.

“Itu sahaja yang kita tidak dapat laksanakan.

Selain daripada itu, kita dapat laksanakan apa yang kita janjikan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Presiden DAP, Anthony Loke berkata cadangan Landasan Bypass Senawang–Port Klang merupakan antara projek strategik yang mampu memperkukuhkan hubungan logistik antara kawasan selatan dan Pelabuhan Klang.

Menurut Aminuddin, projek itu berpotensi memberi manfaat kepada kawasan perindustrian di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dengan menyediakan jaringan pengangkutan yang lebih cekap.

Mengulas hala tuju Negeri Sembilan sekiranya PH terus diberi mandat mentadbir negeri itu, Aminuddin berkata beliau mahu melihat negeri berkenaan menjadi lebih maju, lestari dan makmur dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, pembangunan infrastruktur, pelabuhan, rangkaian rel serta kawasan industri baharu akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.

Dalam pada itu, PRN Negeri Sembilan ke-16 akan menyaksikan sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos 2026.

Aminuddin yang sebelum ini mewakili DUN Sikamat selama empat penggal akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Faizal Ramli di kerusi DUN Linggi pada PRN Negeri Sembilan ke-16.

Show More

Related Articles

Back to top button