Langkah Berani Dr Azizul, Berdepan Tok Mat Dengan Politik Sihat Di Rantau

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi menawarkan pendekatan politik baharu dengan mengetengahkan pengalaman sebagai seorang doktor perubatan dalam usaha mendekati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menurutnya, manifesto PH yang dilancarkan baru-baru ini bukan sekadar retorik politik sebaliknya memberi tumpuan kepada isu rakyat termasuk ekonomi, kesihatan, pendidikan, pertanian, peluang pekerjaan anak muda serta perpaduan.
“Bagi saya, ini adalah manifesto yang menyentuh isu rakyat. Ia bukan sekadar retorik tetapi benar-benar berkaitan dengan kehidupan masyarakat termasuk ekonomi, kesihatan, pelajaran, pertanian, pekerjaan anak muda dan perpaduan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Manifestio Pakatan Harapan yang berlangsung di Klana Resort disini.
Dr Azizul berkata, sepanjang tempoh kempen, beliau bersama calon-calon PH akan membawa mesej manifesto berkenaan kepada rakyat khususnya pengundi di DUN Rantau.
“Gerak kerja kempen di kawasan itu setakat ini berjalan dalam suasana sihat tanpa sebarang provokasi dengan pendekatan politik matang menjadi fokus utama.
“Dalam kempen ini kita bawa politik matang, politik baharu sebagai anak muda untuk menawarkan sesuatu kepada rakyat.
“Saya datang dengan latar belakang doktor terlebih dahulu lebih daripada politik,” katanya.
Dr.Azizul berkata, cabaran di Rantau sememangnya besar apabila berdepan calon berpengalaman dan hebat dalam sudut politik namun pendekatan memperkenalkan dirinya sebagai calon muda dan profesional akan menjadi fokus sepanjang kempen.
“Kita tahu di Rantau kita berlawan dengan orang lama . Jadi kempen yang sedang berjalan ini lebih kepada memperkenalkan siapa diri saya iaitu Dr Azizul Hakim.
“Kita akan bawa isu kesihatan dan isu setempat selain menerangkan manifesto kepada rakyat,” katanya.
Dr Azizul berkata, rakyat Rantau juga sudah mempunyai pengalaman melihat prestasi pentadbiran PH di Negeri Sembilan selepas hampir dua penggal menerajui kerajaan negeri.
Menurutnya, manifesto yang dibawa PH merupakan kesinambungan kepada usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini selain selari dengan agenda Kerajaan Persekutuan.
“Rakyat sudah tahu prestasi apa yang telah Pakatan Harapan lakukan selepas hampir dua penggal.
Manifesto ini adalah kesinambungan dan sejajar dengan kerajaan pusat yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Mengulas perubahan yang ingin dibawa sekiranya diberi mandat, Dr Azizul berkata beliau mahu membawa idea baharu dengan memanfaatkan latar belakangnya sebagai profesional dalam bidang kesihatan.
“Untuk tempoh dua tiga hari kempen ini, kita tidak mampu melakukan perubahan besar, tetapi kita menawarkan sekiranya rakyat memilih calon yang lebih muda, ada idea baharu dan profesional.
“Itu mungkin satu kelebihan untuk membawa perubahan dalam aspek kesihatan, ekonomi dan pembangunan setempat,” katanya.
DUN Rantau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Dr Azizul Hakim Mahdi daripada PH dan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional (BN). 
Datuk Seri Utama Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan merupakan penyandang kerusi Rantau sejak 2004 manakala Dr Azizul tampil menawarkan pendekatan sebagai calon muda baharu dengan pengalaman sebagai doktor perubatan. 
PRN Negeri Sembilan ke-16 kini memasuki tempoh kempen selama 14 hari sebelum rakyat negeri itu menunaikan tanggungjawab mengundi pada 1 Ogos 2026. 



