Berita

Penduduk Sikamat Doakan Kejayaan Tok Min di Linggi, Akui Jasa dan Kepimpinan Sukar Dilupakan

SEREMBAN: Perpindahan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat ke DUN Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 mengundang rasa sedih dalam kalangan sebahagian penduduk yang mengakui telah menyaksikan pelbagai pembangunan dan perubahan sepanjang beliau menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Aminuddin, yang telah mewakili DUN Sikamat selama empat penggal sejak tahun 2008, menyerahkan kesinambungan perjuangan di kawasan berkenaan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad, bagi menghadapi PRN kali ini.

Tinjauan bersama penduduk mendapati ramai menghargai kepimpinan Aminuddin yang disifatkan mesra rakyat, mudah didekati serta konsisten turun padang menyantuni masyarakat.

Penduduk Sikamat, Nordin, 66, yang menetap di kawasan itu sejak tahun 2000 berkata, banyak pembangunan dan penambahbaikan telah dilaksanakan sepanjang Aminuddin menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.

“Alhamdulillah memang ada penambahbaikan dan pembangunan dibuat. Tok Min pun selalu datang ke kawasan ini kerana beliau ADUN di sini. Memang beliau sentiasa turun padang,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai bantuan turut disalurkan kepada masyarakat termasuk peruntukan kepada surau yang mencecah sehingga RM110,000, selain bantuan bagi program korban dan aktiviti kemasyarakatan.

“Untuk peruntukan surau yang baru ini, kami menerima RM60,000. Sebelum ini pernah menerima RM30,000 dan RM20,000. Banyak dah yang kami terima,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun mengakui berasa sedih apabila mengetahui Aminuddin akan bertanding di DUN Linggi.

“Bagi saya, elok kalau Tok Min terus kekal di Sikamat kerana beliau sudah lama berkhidmat di sini. Tetapi itu perancangan beliau dan saya hormati keputusan itu,” katanya.

Pada masa sama, Nordin berkata beliau yakin keputusan PH mempertaruhkan Mohd Norazman Hassan sebagai calon baharu di Sikamat adalah satu pilihan yang baik memandangkan beliau sudah dikenali penduduk setempat.

“Bagi saya, calon yang dihantar itu bagus. Ustaz Nor Azman pun sudah biasa dengan kami, jadi tidak salah beliau diberi peluang meneruskan khidmat di Sikamat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abu Bakar, 67, turut berkongsi pandangan sama apabila menyifatkan Aminuddin sebagai seorang pemimpin yang boleh dipercayai dan telah banyak berjasa kepada penduduk Sikamat.

“Saya sokong Tok Min sepenuhnya. Beliau seorang yang boleh dipercayai dan saya yakin beliau mampu berkhidmat dengan baik di Linggi seperti yang dilakukan di Sikamat,” katanya.

Menurut Abu Bakar, walaupun penduduk Sikamat akan merasai kehilangan seorang wakil rakyat yang telah lama berkhidmat di kawasan itu, beliau berharap penduduk Linggi memberi peluang kepada Aminuddin untuk membuktikan keupayaannya.

“Semoga Tok Min terus maju dan berjaya seperti mana beliau membangunkan Sikamat selama ini,” katanya.

Norizan Abdul Wahab.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norizan Abdul Wahab, 70, berkata Aminuddin dikenali sebagai pemimpin yang merendah diri dan tidak pernah berubah sikap walaupun memegang jawatan Menteri Besar.

“Dia memang baik, peramah dan tidak sombong. Walaupun sudah jadi Menteri Besar, kalau terserempak dia tetap menegur orang,” katanya.

Menurut Norizan, beliau turut berasa sedih apabila mengetahui Aminuddin tidak lagi bertanding di Sikamat kerana sudah lama mengenali corak kepimpinan beliau.

“Memang rasa sedih dan kecewa juga sebab beliau sudah lama memimpin di sini. Terasa kehilangan juga,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang pentadbiran Aminuddin, pelbagai program kemasyarakatan dilaksanakan termasuk sumbangan kepada surau, program korban serta usaha menambah baik kemudahan di kawasan perumahan.

Norizan turut mendoakan agar Aminuddin diberikan kemenangan dan dipermudahkan urusan dalam membawa amanah rakyat di DUN Linggi.

“Saya doakan Tok Min menang dan dipermudahkan segala urusan. Semoga beliau dapat terus berbakti kepada rakyat seperti yang dilakukan di Sikamat,” katanya.

Beliau turut berharap penduduk Linggi dapat menerima kehadiran Aminuddin berdasarkan rekod kepimpinan dan pengalaman beliau mentadbir negeri serta berkhidmat kepada rakyat di Sikamat.

Show More

Related Articles

Back to top button