Faez kongsi kejayaan selesai isu elektrik, telekomunikasi di Labu

LABU: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Dato’ Ahmad Faez Abdul Razak menyifatkan pendekatan turun padang secara berterusan menjadi kunci kepada usaha menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu penduduk di kawasan itu.
Beliau berkata, sepanjang berkhidmat sebagai Penyelaras DUN Labu, sebanyak 498 program telah dilaksanakan menerusi pusat khidmat bagi mendekati masyarakat selain memastikan setiap permasalahan yang dibangkitkan dapat diberi perhatian.
“Daripada orang yang tidak begitu mengenali saya sehingga hari ini, kita telah melaksanakan 498 program melalui pusat khidmat.
“Itulah cara saya mendekati masyarakat, berinteraksi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.
“Selain menyelesaikan isu pendidikan dan keagamaan, banyak lagi pencapaian yang berjaya direalisasikan hasil kerjasama pelbagai pihak,” katanya ketika ditemui Negeri Kita.
Menurut beliau, antara kejayaan yang memberi impak besar ialah penyelesaian masalah bekalan elektrik di Kampung Gadong SC yang sebelum ini sering mengalami catuan, khususnya pada waktu malam dan musim perayaan.
“Masalah ini berlarutan sekian lama, namun dalam tempoh tiga bulan sahaja kita berjaya menyelesaikannya dengan pembinaan sebuah pencawang TNB,” kata Ahmad Faez.
Ahmad Faez berkata, usaha meningkatkan kemudahan telekomunikasi di kampung berkenaan turut menjadi keutamaan selepas mendapati kawasan itu tidak mempunyai liputan telefon bimbit ketika beliau mula dilantik sebagai Penyelaras DUN Labu.
Katanya, dalam tempoh setahun, dua menara telekomunikasi berjaya dibina sekali gus membolehkan penduduk menikmati liputan komunikasi yang lebih baik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seorang bekas imam yang mewakafkan tanah bagi membolehkan pembinaan pencawang TNB dan menara telekomunikasi dilaksanakan.
“Saya amat menghargai pengorbanan beliau yang sanggup mewakafkan tanah demi kepentingan masyarakat.
“Tanah tersebut bukan sahaja sesuai untuk pembinaan pencawang, malah dikenal pasti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai lokasi strategik bagi pembinaan menara telekomunikasi,” ujar Ahmad Faez.
Selain kemudahan utiliti, beliau berkata sebuah jambatan baharu turut berjaya dibina di kawasan Gadong sepanjang tempoh dua tahun enam bulan beliau berkhidmat sebagai Penyelaras DUN Labu.




