Berita

Masjid Dan Surau Bukan Pentas Politik, Hormati Tempoh Kempen PRN – Aminuddin

LINGGI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun menyifatkan keputusan menggantung sementara tauliah mengajar agama melibatkan ahli politik atau calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebagai langkah yang wajar bagi menghormati proses demokrasi.

Aminuddin berkata, perkara itu sewajarnya dilakukan sejak awal lagi dengan meminta pemegang tauliah yang terlibat bercuti daripada menyampaikan kuliah atau ceramah agama sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya.

“Ini satu perkara yang sepatutnya kita sejak awal lagi kita minta supaya mereka menghentikan ataupun bercuti ketika kempen ini bagi menghormati pilihan raya.

“Saya harap ini adalah perkara penting yang harus diberi keutamaan kerana kita tidak mahu masjid dan surau dijadikan medan untuk mengajar dan berkempen dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas ziarah kasih di Rumah Rakyat Kampung Permatang Pasir di Linggi.

Pada 20 Julai yang lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengumumkan penggantungan sementara tauliah mengajar agama kepada ahli politik atau calon PRN sepanjang tempoh rasmi kempen.

Arahan berkenaan dibuat susulan keputusan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan sebagai langkah menjaga kesucian institusi agama, memelihara keharmonian masyarakat serta mengelakkan masjid, surau dan premis pengajaran agama daripada dijadikan medium yang boleh menimbulkan persepsi keberpihakan kepada mana-mana parti atau calon bertanding.

Penggantungan itu berkuat kuasa mulai 18 Julai sehingga satu notis baharu dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Antara yang terlibat ialah beberapa ahli politik dan calon PRN daripada pelbagai parti yang merupakan pemegang Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan.

Aminuddin menegaskan masjid dan surau perlu terus dipelihara sebagai institusi penyatuan ummah serta tidak dijadikan pentas politik sepanjang tempoh berkempen.

Show More

Related Articles

Back to top button